mutakhir

Lelaki bisu, 2 wanita ditahan bersama 2.6 tan daun ketum

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Sik: Seorang lelaki bisu dan dua rakan wanitanya ditahan selepas selesai membungkus 2.6 tan daun ketum bernilai RM156,000 ke dalam plastik pada serbuan di sebuah rumah di Kampung Chong di sini, jam 12.15 tengah malam tadi.

Ketiga-tiga suspek berusia 31 hingga 39 tahun terbabit dipercayai sedang menunggu lori bagi membawa daun ketum terbabit ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik hasil maklumat awam serta risikan.

"Ketika serbuan, ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri namun dapat ditahan.

"Siasatan awal mendapati, bekalan daun ketum itu diambil dari Kampung Lamdin, Padang Terap serta Kampung Kuala Beris dan Kampung Chong untuk pasaran Kuala Lumpur.

"Difahamkan, harga daun ketum boleh mencecah sehingga RM60 sekilogram di Kuala Lumpur berbanding pasaran tempatan hanya RM10 sekilogram," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Abdull Razak berkata, kesemua suspek yang bekerja kampung aktif melakukan kegiatan itu sejak setahun lalu.

Katanya, mereka turut mengakui sudah beberapa kali mengedar daun ketum ke Kuala Lumpur dan Kelantan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan permintaan tinggi.

"Ketiga-tiga suspek direman empat hari mulai hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

"Sabit kesalahan boleh dipenjara empat tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Disiarkan pada: February 10, 2021 @ 2:28pm
d