mutakhir

Widad @ Langkasuka sudah ada Laporan Impak Alam Sekitar

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Tambakan laut yang bakal dilaksana berdekatan kawasan Padang Matsirat, Langkawi sudah mempunyai Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) berikutan ia adalah projek yang diambil alih daripada syarikat terdahulu.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perancangan bagi membangunkan projek berimpak tinggi itu dibuat sebuah syarikat tempatan hampir 20 tahun lalu, namun syarikat terbabit gagal melaksanakannya.

Jelasnya, berikutan itu kerajaan negeri merampas tanah berkenaan pertama kali pada 2007 dan kemudian tanah sama dirampas sekali lagi pada 2012 selepas syarikat terbabit gagal membayar premium ditetapkan.

"Widad Business Group (WBG) baru-baru ini, mengemukakan permohonan bagi menyambung projek ini. Hanya syarikat yang bertukar dan mereka mohon balik tanah berkenaan dengan WBG perlu bayar premium bagi mendapatkan geran tanah.

"Selepas itu, baharu mereka boleh memohon merancang pembangunannya dan jika saiz kawasan yang mahu dibangunkan lebih besar, mereka perlu mengemukakan dan membuat EIA baharu.

"Di pihak kerajaan negeri, kita tidak mempunyai masalah meneruskan projek berkenaan, asalkan WBG patuh undang-undang dan peraturan ditetapkan," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas mengenai tindakan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan 24 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah pelaksanaan projek berkenaan, Muhammad Sanusi meminta mereka tidak mencampuri hal di Kedah.

"SAM sepatutnya jaga Pulau Pinang terlebih dahulu kerana negeri itu lebih banyak menambak laut berbanding Kedah.

"Kawasan di Persiaran Gurney, di Jelutong semua adalah tambakan laut dan ada lagi kawasan di Batu Maung akan ditambak, kenapa SAM tidak bising," katanya.

Muhammad Sanusi pada 20 Januari lalu mengumumkan, Kedah bakal menerima pelaburan domestik dalam sektor pembangunan hartanah eksklusif membabitkan jumlah RM40 bilion dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang daripada syarikat milik penuh Bumiputera iaitu WBG.

Projek dikenali sebagai Widad @ Langkasuka itu membabitkan pembangunan komersial berskala besar di Lot 978, Seksyen 4, Bandar Padang Matsirat, Pulau Langkawi dengan 90 peratus daripadanya adalah lautan.

Disiarkan pada: February 10, 2021 @ 4:28pm
d