mutakhir

Setahun Abam Bocey 'pergi', isteri sedekahkan mi kari

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: Balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Nurhidayah Mohd Ali, 29, tidak mudah melupakan menu kegemaran arwah suaminya yang meninggal dunia genap setahun semalam.

Untuk itu, dia menempah 100 pek mi kari bersama 100 pek mihun sup daripada adiknya, Muhammad Zainuddin Mohd Ali, 27 dan isteri, Nor Farhana Nordin, 22, untuk disedekahkan kepada pelanggan yang datang ke kedai makan miliknya di Medan Selera Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) Jalan Tebedu, di sini.

Ternyata, kedua-dua menu ini mendapat sambutan orang ramai yang datang ke kedai Siti Nurhidayah dalam tempoh 45 minit selepas ia tular di laman Facebook.

Ketika ditemui, Siti Nurhidayah berkata, walaupun Allahyarham sudah tiada, dia berusaha melakukan yang terbaik demi dirinya dan anak, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia setahun tujuh bulan.

Mengimbau kembali kenangan bersama Allahyarham, Siti Nurhidayah berkata, suaminya gemar mee kari yang dibuat olehnya dan ahli keluarga terutama ketika jamuan Hari Raya Aidilfitri.

"Dulu, arwah memang menyukai mi kari. Kalau balik rumah adik ipar, arwah cakap padanya, 'Eh, sedaplah mi kari kau ni. Kalau buat jual, boleh ni'.

"Hari ini (semalam), genap setahun suami pergi meninggalkan kami semua. Tetapi, Allah SWT makbulkan doa saya untuk berkongsi rezeki (mi kari dan mihun sup) dengan pelanggan," katanya.

Menurutnya, walaupun tidak dapat pergi ke kubur Allahyarham berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia tidak putus berdoa agar roh suaminya ditempatkan di kalangan orang beriman.

Dalam pada itu, Siti Nurhidayah berkata, dia berharap perniagaannya diberkati Allah SWT dan berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin serta mengambil berat akan dirinya dan Syed Uthman Hamzah.

"Diam tak diam, anak (Syed Uthman Hamzah) dah membesar manakala saya yang dahulunya berniaga di tepi jalan, kini memiliki kedai di sini (Medan Selera MDSB Jalan Tebedu).

"Setiap kali balik berniaga, anak mesti tengok gambar arwah suami yang dibingkaikan. Malah, bantal yang mempunyai gambar arwah juga akan dibawa ke mana-mana termasuk ke kedai," katanya.

Disiarkan pada: February 10, 2021 @ 6:03pm
d