mutakhir

Kabinet setuju cadangan Najib sembunyi sumbangan

Oleh Farah Marshita Abdul Patah

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, beritahu bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan Datuk Seri Najib Razak untuk menyembunyikan sumbangan yang diterima daripada Raja Muda Arab Saudi.

Bekas Perdana Menteri itu, ketika mesyuarat Kabinet pada 8 September 2010, memaklumkan beliau menerima sumbangan daripada Putera Sultan Abdul Aziz Al Saud kepada yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Bahagian Kabinet Perlembagaan dan Perhubungan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Tan Sri Mazidah Abdul Majid, Najib, bagaimanapun, memberitahu bahawa kerabat diraja itu meminta supaya sumbangan berkenaan tidak diumumkan.

"Kabinet kemudian bersetuju dengan cadangan itu selain pandangan-pandangan lain antaranya kerajaan perlu lebih kreatif dalam mencari sumber dan peruntukan luar rangkaian yang sedia ada kerana ia memberi lebih fleksibiliti kepada kerajaan untuk membantu rakyat.

"Kabinet juga bersetuju bahawa Yayasan 1MDB ditubuhkan untuk menyokong sumber sedia ada kerajaan khusunya bagi memperluas projek dan program sosial," katanya pada perbicaraan kes 1MDB yang dihadapi Najib.

Saksi ke-11 pendakwaan itu dalam keterangannya, memberitahu pada mesyuarat berkenaan, Najib turut memaklumkan kepada Kabinet bahawa beliau sedang mengadakan pertemuan secara formal dan tidak formal dengan pihak tertentu di negara Timur Tengah yang memberikan respon positif berhubung banyak perkara membabitkan kepentingan Malaysia.

Katanya, Najib memaklumkan selain sudah menerima sumbangan pertama, pihak kerabat diraja itu juga akan menyalurkan sumbangan seterusnya selepas ini.

"Dengan sumbangan itu, lebih banyak projek dan program berasaskan tanggungjawab sosial korporat akan dapat dilaksanakan melalui Yayasan 1MDB dan lebih ramai golongan memerlukan akan dapat dibantu.

"Najib juga memaklumkan kepada Kabinet untuk memberi cadangan bagi projek CSR untuk dilaksanakan pada Oktober 2010." katanya.

Sebelum ini, pada September 2019, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam keterangannya, memberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low menyerahkan empat keping cek berjumlah US$100 juta kepadanya.

Shahrol Azral, berkata cek berkenaan didakwa sebagai derma dari keluarga diraja Saudi kepada Yayasan 1MDB tetapi Jho Low mengarahkan untuk tidak menunaikannya.

Katanya, berikutan tiada arahan lanjut diberikan, beliau kemudian menyerahkan cek berkenaan kepada jabatan kewangan 1MDB untuk disimpan sebelum meletakkan jawatannya pada 2013.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Disiarkan pada: February 10, 2021 @ 6:45pm
d