mutakhir

Harga siling RON95 RM2.05, diesel RM2.15 seliter

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju menetapkan had harga siling petrol RON95 dan diesel masing-masing pada paras RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, langkah itu bertujuan melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak yang ketara apabila harga sebenar minyak di pasaran global meningkat.

"Paras harga siling RM2.05 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.15 seliter bagi diesel ini adalah lebih rendah berbanding had harga yang dilaksanakan kerajaan terdahulu pada 2019 iaitu RM2.08 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel.

"Kerajaan akan menampung perbezaan harga pasaran sebenar dengan harga runcit yang ditetapkan secara mingguan melalui peruntukan subsidi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, keputusan itu diambil berdasarkan trend harga pasaran sebenar produk petroleum yang semakin meningkat susulan peningkatan permintaan minyak mentah dunia yang turut dipengaruhi pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia.

"Trend harga minyak global juga dipengaruhi pelan vaksinasi Covid-19 yang mula dilancarkan secara beransur-ansur di seluruh dunia.

"Malaysia sendiri akan melancarkan Program Imunisasi Kebangsaan bermula hujung bulan ini," katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan tetap komited mengurangkan kos sara hidup rakyat dan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia.

"Selain itu, kerajaan akan mengambil langkah yang bersesuaian bagi mengimbangi tanggungan subsidi kerajaan dengan keperluan untuk terus memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Pada 3 Jun tahun lalu, kerajaan persekutuan sudah membatalkan perintah harga siling terhadap minyak petrol dan diesel melalui Warta Kerajaan.

Berdasarkan Warta Kerajaan itu, Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) (No 8) (Pembatalan) 2020, mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dibuat Pengawal Harga Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad pada 10 April 2020 dengan kelulusan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.

Ia membatalkan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) (No 8) 2020 [PU (A) 64/2020].

Perintah itu membatalkan perintah yang dibuat pada Februari lalu yang menetapkan harga siling RON95 pada RM2.08 seliter berbanding RM2.20 seliter sebelum ini dan diesel pada harga RM2.18 seliter.

Disiarkan pada: February 10, 2021 @ 8:16pm
d