mutakhir

'Lebih ramai bantu, lebih ramai akan terima manfaat'

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: "Saya simpati dengan keluhan ibu bapa yang tidak mempunyai kemudahan gajet atau komputer di rumah.

"Jadi saya ingin sumbangkan komputer sudah diperbaharui kepada mereka yang memerlukan," kata seorang usahawan, Nazri Hussein.

Dia memuatnaik status di Facebooknya, semalam mengenai hasratnya untuk membantu ibu bapa yang berdepan masalah tidak mempunyai peranti untuk Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Katanya, buat masa ini, dia mempunyai 15 set komputer sudah diperbaharui dan boleh digunakan untuk diberikan kepada yang memerlukan.

"Saya memang dalam bidang komunikasi maklumat (IT) dan minat dalam pemasangan komputer.

"Pejabat saya ada banyak komputer lama di dalam stor. Saya beli peralatan untuk bersihkan dan tambah baik supaya boleh diguna untuk PdPR dan benda asas," katanya.

Nazri berkata, dia menerima banyak permohonan dan dalam proses saringan bagi memastikan mereka yang benar-benar memerlukan mendapat manfaat daripada komputer itu.

Menurutnya, dia mahu memastikan bantuan itu diberikan kepada mereka yang memerlukan.

"Alhamdulillah, ada beberapa individu menghantar mesej kepada saya untuk turut sama menyumbang komputer lama mereka.

"Saya akan perbaharui untuk tujuan ini kerana lebih ramai membantu, lebih ramai akan menerima manfaat," katanya.

Menurutnya, dia dibantu empat kakitangan menyiapkan komputer berkenaan secara sukarela dan berharap ia dapat membantu pelajar dan ibu bapa yang terkesan dengan Covid-19.

Disiarkan pada: February 10, 2021 @ 10:02pm
d