mutakhir

Palestin zahir penghargaan terhadap Yayasan MyAqsa

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kedutaan Palestin di Malaysia, Maldives dan Brunei menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia khususnya Yayasan MyAqsa (MyAQSA) yang terbabit secara langsung dalam proses perundangan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Dalam kenyataan hari ini, kedutaan terbabit berkata, gabungan komprehensif antara badan bukan kerajaan (NGO) itu bersama kepemimpinan Palestin yang diwakili Kementerian Luar Negeri dan ekspatriat Palestin berjaya memutuskan ICC mempunyai bidang kuasa di Palestin.

"Kedutaan melihat keputusan ini adalah pencapaian dan penghormatan serta pengiktirafan atas pengorbanan syuhada, tahanan dan masyarakat yang berpegang teguh di tanah mereka walaupun terdapat tekanan dan penindasan luar biasa.

"Pencapaian luar biasa ini tonggak penting dalam perjalanan menuju keadilan, ia secara tidak langsung akan menerangkan situasi sebenar di Palestin yang dijajah dan dizalimi rejim Zionis Israel," katanya.

Menurutnya, keputusan ini mengesahkan hak rakyat Palestin bukan sekadar ekpresi pertimbangan politik, sebaliknya diakui oleh undang-undang dan badan kehakiman.

Katanya, ini membuktikan bahawa semua tindakan penjajahan dan penindasan jenayah perang terhadap rakyat Palestin dan percubaan berterusan rejim Zionis Israel untuk merampas tanah Palestin adalah pelanggaran secara terang-terangan terhadap Konvensyen Geneva keempat serta Undang-undang Antarabangsa dan Hak Asasi Manusia dan semua Resolusi Majlis Keselamatan dan Majlis Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Yang paling penting, keputusan ini berpotensi untuk mengelakkan penindasan pada masa akan datang kerana mahkamah berhak menyiasat, mendakwa, dan menghukum kekejaman terhadap rakyat Palestin.

"Palestin akan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia, Kementerian Luar Negeri Malaysia dan semua NGO Malaysia khususnya Yayasan MyAqsa yang sentiasa berusaha dalam mencari jalan undang-undang dan diplomatik untuk melindungi hak kebangsaan Palestin," katanya.

Disiarkan pada: February 10, 2021 @ 11:20pm
d