mutakhir

Sisa diesel buat Sungai Serting jadi hitam

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Cecair disyaki diesel dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab ke dalam Sungai Serting menyebabkan ia berubah menjadi warna hitam, hari ini.

Kejadian disedari pekerja sebuah restoran pada 5.50 petang yang terbau minyak diesel sebelum mencari punca bau berkenaan.

Pengurus Cyedok Kafe, Nazrul Hafiz Abas berkata, dia dan pekerja bergegas ke sungai yang terletak kira-kira 50 meter dari restorannya di Bahau sebelum terkejut melihat air sungai berwarna hitam.

Katanya, bau diesel sangat kuat dan mengesyaki ada pihak membuang minyak berkenaan ke dalam sungai.

"Perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan kejadian pertama dilihat sejak restoran ini beroperasi setahun lalu.

"Kami sudah menghubungi Jabatan Alam Sekitar (Jas) dan mereka sudah mengambil sampel air sungai berkenaan untuk ujian makmal," katanya.

Nazrul Hafiz berkata, jika benar ia adalah buangan daripada minyak diesel, sudah pasti memberi masalah lain terutama kepada hidupan air di sungai berkenaan.

Katanya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap pelaku kerana ia menyusahkan banyak pihak selain sungai berkenaan turut menjadi sumber ikan air tawar.

Sementara itu, Harian Metro masih menunggu kenyataan daripada Jas yang sudah ke lokasi mengambil sampel bahan buangan dan air sungai berkenaan.

Disiarkan pada: February 10, 2021 @ 11:21pm
d