mutakhir

Gagal seludup lembu

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Cubaan menyeludup enam lembu gagal selepas sebuah lori ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Kok Bedullah, di sini, tengah malam kelmarin.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, pada jam 12.30 tengah malam itu, anggotanya membuat rondaan di sekitar Kampung Bunohan sempena penugasan Ops Benteng.

"Anggota terserempak dengan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan lampu tidak dihidupkan dan cuba menahannya.

"Bagaimanapun pemandu memecut laju ke arah Kampung Kok Bedullah sejauh lebih lima kilometer.

"Pemandu itu kemudian memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan melarikan diri meninggalkan lori dalam keadaan enjin masih hidup," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Nor Azizan berkata, anggotanya cuba mengesan pemandu namun gagal dan pemeriksaan menemui enam lembu.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut tidak menjumpai sebarang dokumen atau permit pemindahan berkaitan lembu yang dibawa.

Menurutnya, pihaknya percaya semua lembu yang dianggarkan bernilai RM54,600 itu diseludup dari Thailand untuk pembekal baka memandangkan bentuk badannya lebih besar berbanding lembu tempatan.

"Laporan polis dibuat di Balai Polis Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut manakala haiwan itu pula diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953," katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2021 @ 10:45am
d