mutakhir

Polis tumpaskan sindiket love scam, e-dagang

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket penipuan love scam dan e-dagang selepas menahan lima warga Nigeria termasuk wanita, kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Zainuddin Yaacob berkata, penahanan empat lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 35 tahun itu dilakukan dalam serbuan di dua unit Pangsapuri Ruvena Villa, Taman Putra Perdana, Puchong.

"Serbuan 9 hingga 11 pagi itu turut merampas empat komputer riba, 15 telefon bimbit, dua modem bersama router, pasport serta kad ATM (mesin pengeluaran automatik).

"Kesemua suspek disyaki terbabit kegiatan penipuan love scam dan e-dagang yang menyasarkan warga Malaysia dan Thailand sebagai mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zainuddin, siasatan mendapati aktiviti penipuan itu dilakukan dengan bantuan rakan lain di luar negara.

"Mereka giat mencari teman wanita di pelbagai negara yang sanggup menjadi ejen Mule Account yang mana akaun berkenaan digunakan untuk tujuan menipu mangsa.

"Polis percaya penahanan mereka berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kes penipuan itu," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu JSJK merekodkan 6,337 kes penipuan e-dagang membabitkan kerugian RM45.6 juta manakala 1,697 kes penipuan love scam membabitkan kerugian RM64.3 juta.

Disiarkan pada: February 11, 2021 @ 5:05pm
d