mutakhir

Siasat status halal sayap, buntut ayam sejuk beku

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan sedang menyiasat status halal sayap ayam dan buntut ayam beku yang dijual di Pasar Besar Sandakan, di sini.

Pegawai JHEAINS Sandakan, Romzi Abdul Rahman berkata, ia susulan penemuan produk itu di sebuah gerai menjual ayam hari ini.

Menurutnya, pihaknya menjalankan pemeriksaan bermula jam 7 pagi bersama anggota Makanan Guna Islam (MGI).

"Sebanyak 15 gerai menjual ayam dan ikan diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat seorang peniaga yang menjual sayap ayam dan buntut ayam beku yang tidak diketahui status halal.

"Peniaga ini mendakwa mengambil ayam dari syarikat yang dipercayai tiada logo halal," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Romzi berkata, susulan itu nasihat diberikan kepada peniaga itu agar tidak mengambil ayam dari syarikat berkenaan.

"Peniaga ini juga akan dipanggil ke Pejabat JHEAINS untuk diambil keterangan," katanya.

"Peniaga gerai selebihnya disahkan mengambil bekalan ayam dari syarikat yang memiliki logo halal sah," katanya.

Dalam pada itu, Romzi berkata terdapat juga kesalahan berkaitan sembelihan.

"Terdapat sembelihan yang tidak memutuskan urat makan dan nafas ayam dikesan.

"Selain itu, ada peniaga menggunakan pewarna tiada logo halal.

"Semua mereka kemudiannya diberikan nasihat agar tidak menjual dan menggunakan pewarna tanpa logo halal terbabit," katanya.

1.PEGAWAI Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan menjalankan pemeriksaan di Pasar Besar Sandakan, hari ini. PIX JHEAINS

Disiarkan pada: February 12, 2021 @ 4:03pm
d