mutakhir

Guru tubuh kumpulan YouTuber bantu pelajar

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Menubuhkan kumpulan YouTuber antara inisiatif dilakukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus bagi memperkasakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pengetuanya, Abu Bakar R A Mohd Abdullah berkata, kumpulan YouTuber terdiri daripada lima guru iaitu Norfadhilah Zalina Mat Zaid, Hairunnisa Salleh, Norazilah Mohd Isa, Sukatini Yaakob dan Kamariah Zakaria itu gigih berperanan untuk membantu dan menarik minat pelajar menumpukan kepada sesi PdPR.

"Selain sesi PdPR melalui modul dan secara dalam talian, kami menubuhkan kumpulan YouTuber yang terdiri daripada lima guru bagi memastikan ilmu diajar guru terus 'melekat' dalam fikiran pelajar.

"Ini kerana, bagi sekolah harian biasa pelajar agak sukar untuk belajar jika guru tidak mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran mereka, lebih-lebih lagi tanpa kawalan di rumah.

"Melalui kaedah YouTuber ini, ia berjaya menarik pelajar untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap sesi berkenaan," katanya ketika menjadi ahli panel webinar bertajuk Isu dan Cabaran PdPR, Perkongsian Pastem Pembelajaran Online kelolaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), hari ini.

Turut berkongsi pandangan adalah Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma), Kamsah@Kamal Mohamed yang menyifatkan kaedah YouTuber turut membantu pelajarnya lebih memahami ketika proses Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam situasi norma baharu ini.

"Setakat ini, kami mempunyai 15 guru berperanan sebagai YouTuber berdasarkan sesi PdPc mereka dan melalui sesi ini pelajar lebih mudah faham apa yang diajar.

"Sehingga kini, Sesma sudah menghasilkan 250 video PdPc membabitkan 10 pelajaran yang menepati sukatan pelajaran bagi memastikan pelajar tidak tercicir atau ketinggalan.

"Selepas ini saya akan galakkan lebih ramai lagi guru menjadi YouTuber kerana langkah ini dilihat salah satu kaedah bersesuaian selain kaedah-kaedah lain yang turut kita gunakan demi akademik pelajar," katanya.

Dalam webinar itu, turut menjadi panel Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar dan Pengerusi Persatuan Stem Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Noraini Idris manakala moderator Profesor Madya Dr Laili Che Rose, Pengarah Pastem.

Disiarkan pada: February 12, 2021 @ 5:57pm
d