mutakhir

Tingkatkan hukuman jenayah seksual: Zuraida

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Kerajaan Persekutuan dicadangkan untuk meningkatkan lagi hukuman terhadap pesalah jenayah seksual, menerusi peruntukan sedia ada.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata, insiden remaja perempuan berusia 16 tahun dirogol dalam lokap balai polis di Miri, Sarawak oleh tahanan lain sebelum ini, bukan hanya membabitkan kesalahan merogol sebaliknya ia turut mencemarkan institusi dan adicita (ideologi) pasukan polis.

Beliau berkata, peningkatan hukuman terhadap pesalah jenayah seksual itu sekaligus berperanan sebagai langkah pencegahan supaya masyarakat tidak melakukannya lagi.

"Saya terpanggil untuk mengulas mengenai kejadian yang berlaku terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, yang dirogol oleh tahanan lain sewaktu ditahan di sebuah lokap balai polis di Miri, Sarawak pada Januari lalu.

"Bagi saya, kejadian hitam yang berlaku terhadap remaja ini tidak seharusnya didiamkan begitu sahaja walaupun beberapa pendakwaan sudah dilakukan di mahkamah terhadap pesalah dan anggota polis yang bertugas ketika kejadian itu berlaku sudah digantung tugas serta-merta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuraida berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM)dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memaklumkan perkembangan terkini, sama ada lokap Balai Polis Pusat Miri sudah dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh digunakan untuk tujuan merakam dan memantau tahanan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Katanya, ia berikutan insiden itu bukan kejadian pertama yang tidak diingini berlaku di lokap.

Beliau berkata, transformasi CCTV perlu dilakukan di lokap seluruh negara, bagi memastikan ketelusan dan integriti anggota polis terus disanjung masyarakat.

"Sampai bilakah CCTV yanghanya boleh digunakan untuk memantau sahaja akan digunakan di lokap ini dan di lokap-lokap lain.

"Kejadian rogol yang berlaku ini adalah kejadian luarbiasa, kerana ia

berlaku di sebuah balai polis, yangmenurut saya sebuah premis dibangunkan untuk tujuan menjunjung danmenegakkan undang-undang negara sepertimana sumpah keramat dan janji setia pasukan polis," katanya.

Pada 16 Januari lalu, remaja perempuan berusia 16 tahun membuat laporan polis mendakwa ditahan sepasukan anggota polis di tempat kerjanya di restoran di Miri, 8 Januari lalu, kerana disyaki terbabit aktiviti perjudian haram.

Mangsa mendakwa beliau satu-satunya tahanan wanita yang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri selama satu malam bagi membantu siasatan, serta diletakkan dalam sel berasingan dengan 12 lagi tahanan lelaki.

Bagaimanapun, remaja itu mendakwa, sel yang menempatkan 12 tahanan lelaki itu tidak berkunci.

Remaja itu mendakwa, antara 4 hingga 5 pagi, seorang tahanan lelaki dikatakan memiliki kunci lokap tahanan wanita, membuka pintu sel itu dan membawanya ke tandas balai polis sebelum merogolnya.

Susulan kejadian, dua anggota polis yang bertugas ketika kejadian sudah digantung tugas serta merta manakala tahanan lelaki terbabit sudah didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: February 14, 2021 @ 11:29am
d