mutakhir

300 petani terjejas, sawah kering ketika padi bunting [METROTV]

Oleh Nor Amalina Alias

Bachok: Kira-kira 300 petani mengusahakan 80 hektar padi di lima kampung di Gunong, dekat ini, berdepan kerugian RM320,000 apabila sawah mereka kering kontang sejak bulan lalu.

Ia membabitkan sawah padi di Kampung Telaga Ara, Permatang Pasir, Kok Lintang, Surau Bator dan Gong Jelutong.

Petani, Mohd Faizal Mat Hussin, 40, berkata, sawah mereka bergantung kepada rumah pam air ditempatkan kira-kira tiga kilometer dari sawah.

Bagaimanapun, katanya, rumah pam air itu tidak mampu menampung keperluan air sawah padi di situ yang kini dalam peringkat bunting.

"Kami mula menanam padi musim ini pada Disember lalu dan sepatutnya boleh ambil hasil pada Mac nanti, tetapi sekarang sawah kering kontang menyebabkan kualiti padi terjejas apabila menjadi kering dan ringan.

"Sepatutnya kami boleh menanam tiga kali setahun, namun dengan keadaan ini, kami sukar membuat padi kerana modal semuanya hasil poket sendiri," katanya ketika ditemui di sawah Kok Lintang, di sini, hari ini.

Mohd Faizal berkata, sepatutnya jika padi menjadi, mereka mampu menghasilkan 2.5 metrik tan padi bagi satu hektar tanaman padi.

Katanya, ketiadaan air menyebabkan kualiti padi merosot dan menyebabkan padi menjadi ringan dan bertukar menjadi 'hampa' (tiada isi).

Rakannya, Mohd Fikri Aswadi Mohd Noor, 37, berkata, masalah sawah kering kontang sudah berlarutan sejak 10 tahun dan petani sebelum ini bergantung pada air hujan pada musim tengkujuh bagi menanam padi.

Bagaimanapun, katanya, mereka kini gusar memandangkan musim kemarau semakin menghampiri dan jika air tidak dapat disalurkan, padi mereka mungkin tidak dapat dituai keseluruhannya.

"Kami merayu kerajaan atau pihak yang berkaitan, membantu petani di sini menyelesaikan isu air ini kerana jika tidak kami bukan sahaja kerugian hasil, malah tidak dapat membuat pusingan modal untuk tanaman padi seterusnya kerana ini sahaja punca pendapatan kami," katanya.

Disiarkan pada: February 14, 2021 @ 2:29pm
d