mutakhir

KPT, IPT bersama tangani isu sugar baby, semak kesahihan data

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama-sama pihak universiti yang disenaraikan dalam satu laporan kegiatan 'sugar baby' baru-baru ini, akan menangani isu itu dengan lebih berkesan.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Jabatan Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Husaini Omar berkata, pihak universiti terbabit juga akan menjalankan semakan dalaman secara terperinci bagi memastikan apa yang dilaporkan oleh pihak media dapat ditangani dengan sebaik-baiknya.

"KPT memandang serius pendedahan yang dibuat oleh akhbar The Star Online mengenai laman sesawang student programme dan laporan dalam Facebook mengenai peningkatan mendadak bilangan pelajar universiti yang terbabit dalam perkhidmatan 'sugar baby'.

"Pihak KPT sudah menghubungi beberapa universiti yang disenaraikan dalam laporan itu bagi mendapatkan maklumat mengenai kesahihan data yang disiarkan dalam beberapa media," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Pada masa sama, Husaini berkata, pihaknya mendapat penjelasan daripada pengurusan universiti terbabit susulan banyak keraguan terhadap data yang dikemukakan dalam laporan itu.

Beliau berkata, antara perkara dibangkitkan termasuk pengurusan Sunway Education Group menyatakan bahawa agak mustahil 45 peratus daripada pelajar Sunway University dikatakan terbabit dalam aktiviti 'sugar baby'.

Katanya, ia berikutan jumlah pelajar Sunway University pada masa ini adalah kira-kira 7,000 pelajar sahaja, justeru tidak munasabah laporan yang disiarkan menyatakan seramai 3,105 pelajar Sunway University menjadi 'sugar baby'.

"Pada 10 Februari 2021, Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga sudah membuat laporan polis bagi menafikan laporan oleh pihak media," katanya.

Beliau berkata, kementerian itu juga akan melaksanakan sesi libat urus dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan bagi merangka satu program berterusan dan menyeluruh dalam memastikan sahsiah pelajar dan imej Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia terjaga.

Beberapa portal berita sebelum ini melaporkan pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKPK) menyebabkan ramai pelajar universiti di Malaysia mencari 'sugar daddy' untuk mendapatkan wang dengan cara mudah bagi menampung kos hidup serta yuran pengajian.

Perkhidmatan hubungan 'sugar daddy-sugar baby' terbesar di Asia, Sugarbook turut melaporkan peningkatan pendaftaran pelajar sehingga 40 peratus untuk menjadi 'sugar baby' sejak Januari lalu.

Ia juga mendedahkan seramai 12,705 pelajar terdiri daripada penuntut di IPT di Lembah Klang, termasuk dua universiti awam, berdaftar dengan platform itu.

Berita berkaitan

Sekat Sugarbook daripada merosakkan generasi, aset negara

Disiarkan pada: February 14, 2021 @ 5:02pm
d