mutakhir

Lelaki pengsan dan cedera motosikal ditendang peragut

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Seorang lelaki menempuh detik cemas apabila diekori dua peragut sebelum motosikal ditungganginya ditendang dari belakang sehingga terjatuh dalam kejadian di Jalan Sungai Lokan, Seri Pinang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.20 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersendirian dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum dua peragut lelaki yang turut menaiki sebuah motosikal mengekorinya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang sedar dirinya diekori memecut motosikalnya namun suspek bertindak mengejarnya.

"Suspek mengejar mangsa kira-kira 100 meter dan menghimpit mangsa supaya mangsa memberhentikan motosikalnya tetapi mangsa tidak mempedulikannya sehingga mangsa terasa motosikalnya ditendang dari belakang lalu menyebabkan mangsa terjatuh dan tidak sedarkan diri kerana pengsan.

"Apabila mangsa sedar dari pengsan dia mendapati beg galas miliknya mengandungi telefon bimbit, sejumlah wang, jam tangan dan dokumen peribadi hilang dipercayai dilarikan dua peragut terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa disedarkan oleh orang awam yang melihatnya terbaring di atas jalan sebelum menghantar pulang ke rumahnya di Permatang Sintok, Kepala Batas dekat sini.

"Dalam kejadian itu, mangsa turut mengalami kecederaan dan luka pada beberapa bahagian badan yang mana dia kemudian dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk mendapatkan bantuan lanjut," katanya.

Insiden ragut menimpa mangsa kemudian tular di media sosial Facebook dengan wujud dakwaan bahawa kejadian sama pernah berlaku beberapa kali di kawasan berkenaan.

Noorzainy berkata, melalui semakan dibuat dakwaan itu sama sekali tidak benar memandangkan tiada laporan polis diterima pihaknya berhubung kejadian sama sering berlaku di kawasan itu.

"Berdasarkan rekod, kejadian ini baru kali pertama berlaku di kawasan itu dan kenyataan yang tular di media sosial tidak benar.

"Polis sudah mengenalpasti suspek terbabit dalam kejadian ragut ini dan usaha memburu mereka sedang giat dijalankan," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: February 15, 2021 @ 2:07pm
d