mutakhir

Banteras isu 'sugar daddy' dan 'sugar baby'

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Haramkan mana-mana platform mahupun aplikasi janji temu tidak mematuhi syariat Islam jika mahu isu 'sugar baby' dan 'sugar daddy' dibanteras.

Itu pandangan pendakwah bebas Ustaz Haslin Baharim berkaitan trend lelaki tempatan berstatus suami memiliki wanita simpanan atau 'sugar baby'.

Mengulas lanjut isu itu, Haslin berkata, pihak berkuasa perlu menyiasat habis-habisan dan mengambil tindakan tegas bagi membanteras gejala tidak bermoral terbabit.

"Kalau dari segi agama hendak selesai mudah, kahwinkan saja, tetapi kita sedar bukan seks matlamat utama 'sugar baby' yang kebanyakannya dilaporkan penuntut universiti tetapi mereka cuma terjebak disebabkan mahukan kemewahan.

"Jadi, siasat habis-habisan apakah benar dakwaan itu dan cari siapa orang tengah sampai ke lubang cacing.

"Saya rasa isu Sugarbook ini sudah lama lagi kontroversi sejak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan iklan papan tandanya pada 2019 tetapi kenapa ia masih dibiarkan berleluasa?.

"Apa sahaja keberjatan sosial yang berlaku, pihak berkuasa kena tegas dan berkeras ambil tindakan termasuk haramkan platform ini, jika tidak isu ini tidak akan selesai sampai bila-bila," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, sikap ambil ringan dan tidak serius terhadap hukum Islam menjadi punca kepada golongan berkenaan terjebak dalam kancah tidak bermoral itu.

"Nasihat saya mereka yang terbabit bertaubatlah kerana perbuatan menghampiri zina apatah lagi zina berdosa besar.

"Kepada golongan 'sugar daddy', tunjukkanlah contoh yang baik kepada anak muda dan carilah jalan penyelesaian untuk menyelamatkan rumah tangga dan bukan mencari 'sugar baby' untuk melempiaskan nafsu dan keseronokan semata-mata.

"Bagi anak muda yang terbabit sebagai 'sugar baby' pula, jangan cari kemewahan dengan jalan singkat dan ukurlah baju di badan sendiri," katanya.

Harian Metro hari ini menyiarkan pendedahan laman sesawang temu janji terbesar di dunia, SeekingArrangement mengenai Malaysia berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara Asia mempunyai 'sugar daddy' teramai dengan 42,500 orang.

Data platform temu janji, Sugarbook pula mendedahkan seramai 14,433 pendaftaran untuk menjadi 'sugar baby' diterima pihaknya membabitkan penuntut di 10 institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia termasuk dua daripadanya adalah IPT awam.

Disiarkan pada: February 15, 2021 @ 5:28pm
d