mutakhir

Tiada pemegang kad UNHCR, Rohingya dihantar pulang

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Tiada pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan etnik Rohingya yang terbabit di dalam program penghantaran (repatriation) pulang menggunakan Kapal Tentera Laut Negara Myanmar pada 23 Februari ini.

Sebaliknya, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, ia hanyalah sebahagian daripada proses biasa pengusiran warga asing daripada Depot Imigresen di negara ini.

"Warga Myanmar yang terbabit dalam program ini terdiri daripada mereka yang ditahan di Depot Imigresen kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Antara kesalahan yang dilakukan mereka adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan salah guna pas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya mengusir seramai 37,038 warga asing terdiri daripada warga Indonesia (17,002), Bangladesh (5,450), Myanmar (3,322), Thailand (2,358), Pakistan (1,493) dan lain-lain sepanjang tahun lalu.

"Bagi 2019 pula, seramai 59,114 warga asing dari pelbagai warganegara diusir pulang ke negara asal.

"Perbezaan yang agak besar dalam jumlah warga asing yang diusir pulang antara tahun 2020 iaitu seramai 37,038 individu berbanding 2019 yang merekodkan seramai 59,114 individu disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan negara menutup pintu sempadan masing-masing selain turut mengurangkan jumlah penerbangan dan pengangkutan laut.

"Perkara ini memberi kesan kepada proses pengusiran warga asing dari Depot Imigresen ke negara asal tahanan berkenaan.

"Dalam perkara ini, JIM merakamkan ucapan terima kasih kepada kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur yang memberikan kerjasama dan mengatur penghantaran pulang warganegara mereka dalam jumlah yang ramai," katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2021 @ 6:33pm
d