mutakhir

'Ini kesempatan saya berbakti pada ibu ayah' [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Seorang pemuda rela hidup membujang demi menjaga kedua ibu bapanya yang sudah uzur di Kampung Desa Rebana, di sini.

Mohd Suhairi Junoh, 36, berkata, selepas adik beradiknya berkahwin dan mempunyai keluarga, dia mengambil alih tugas menjaga ibu dan bapanya, Rahmah Salleh, 73, dan Junoh Zakaria, 78, yang memerlukan perhatian disebabkan masalah kesihatan.

Dia berkata, bapanya lumpuh paras pinggang ke bawah selepas terjatuh sejak enam tahun lalu, manakala ibunya pula menderita penyakit saraf, darah tinggi, kencing manis dan sakit lutut selain mata kanan kabur.

"Saya gembira dapat berbakti kepada ibu dan ayah yang selama ini bersusah payah membesarkan saya serta lapan saudara lain, namun seorang daripada kami meninggal dunia pada tahun lalu disebabkan demam denggi.

"Adik beradik yang lain ada kehidupan dan tanggungjawab pada keluarga masing-masing dan saya secara sukarela ingin menggalas tanggungjawab menjaga ibu dan ayah yang sudah tua dan uzur.

"Jika dibandingkan apa yang saya lakukan ini, ia masih tidak mampu membalas pengorbanan mereka yang bersusah payah membesarkan saya selama ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Desa Rebana, di sini, semalam.

Terdahulu, keluarga ini menerima kunjungan daripada Pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Machang, Kamaruddin Ab Kadir yang menyampaikan bantuan keperluan asas bagi meringankan beban yang ditanggung.

Anak keenam daripada lapan beradik itu berkata, sebelum ini dia bekerja di Kuala Lumpur, namun selepas terbabit dalam kemalangan pada 2013 sehingga menyebabkan tulang belakangnya terpaksa dimasukkan besi, dia mengambil keputusan berhenti kerja dan terus menetap di kampung untuk menjaga ibu bapa.

"Ada ketikanya saya dipanggil bekerja sebagai pemandu lori dengan kadar upah RM100 untuk satu perjalanan setiap kali menghantar barang.

"Upah yang diperoleh itu hanya sekadar cukup makan saja, namun mujurlah ayah mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban selain boleh digunakan untuk keperluan perubatannya serta ibu.

"Adik beradik lain tidak pernah melupakan tanggungjawab mereka dan walaupun bukan dalam kalangan orang yang senang, setiap kali datang menjenguk ibu dan ayah, mereka akan menghulurkan wang belanja," katanya.

Mohd Suhairi berkata, dengan usia dan kesihatan ibu bapanya yang tidak menentu, hanya ini masa yang ada untuk dia berbakti kepada mereka dan sebab itu dia rela mengenepikan kepentingan diri bagi memastikan kebajikan orang tuanya terjaga.

"Selagi diberi kesempatan saya akan terus menjaga mereka seperti mana mereka menjaga saya sebelum ini," katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2021 @ 12:14pm
d