mutakhir

Warden wanita Sekolah Henry Gurney positif dadah ditahan

Oleh Amir Mamat

Melaka: Seorang warden wanita di Sekolah Henry Gurney (SHG), Telok Mas, di sini, direman tiga hari selepas didapati positif dadah di sini, semalam.

Wanita yang juga ibu kepada lapan anak berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 7.15 malam oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Ketua JSJN negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, tangkapan itu dibuat hasil maklumat penyelia sekolah itu berkaitan kesalahan dilakukan suspek.

"Hasil maklumat diberikan, sepasukan anggota JSJN IPD Melaka Tengah bergegas ke sekolah berkenaan sebelum membawa suspek ke IPD untuk saringan ujian air kencing dan mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine (AMP) dan syabu.

"Pemeriksaan bagaimanapun tidak menemui apa-apa bahan terlarang bersama suspek," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zulkiflee berkata, suspek yang tinggal di Serkam, Jasin bertugas sebagai warden di sekolah itu sejak 16 tahun lalu dan siasatan lanjut mendapati dia mula terbabit dalam penyalahgunaan dadah sejak lima tahun lalu.

Sehubungan itu, katanya, suspek yang juga ibu kepada lapan anak berusia antara 14 tahun dan tiga bulan itu kini direman tiga hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Jika disabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya," katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2021 @ 3:18pm
d