mutakhir

24 bom tangan di tapak pembuangan sampah

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Dungun: Sebanyak 24 bom tangan bagi kegunaan latihan ditemui di dalam kotak di tapak pembuangan sampah di Felda Kerteh 3, Ketengah Jaya di sini, semalam.

Bahan letupan itu ditemui pemandu lori sampah berusia 35 tahun ketika menjalankan kerja-kerja pembuangan sampah, kira-kira jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, pemandu itu yang curiga kemudian memeriksa kotak terbabit dan terkejut melihat objek seperti bom sebelum segera beredar.

"Bagaimanapun, dia yang bimbang kejadian buruk berlaku pergi semula ke lokasi berkenaan kira-kira 10 malam, hari sama bersama empat rakan selain memaklumkan penemuan itu kepada Ketua Pengerusi Belia kawasan dan polis.

"Sebaik dimaklumkan penemuan pada 11.30 malam, sepasukan anggota Bahagian Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun bergegas ke lokasi dan pemeriksaan lanjut menemukan 24 objek menyerupai bom tangan.

"Siasatan mendapati ia seperti bom tangan biasa digunakan untuk latihan, kebiasaannya bagi bagi latihan asap oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU)," katanya di sini, hari ini.

Baharudin berkata, siasatan turut mendapati kesemua objek itu tidak memiliki nombor siri dan tiada kecacatan selain belum digunakan.

Katanya, pihaknya kini menyiasat lanjut bagaimana bahan letupan itu berada di tapak pembuangan sampah, sementara semua objek terbabit akan dilupuskan di Lembah Bidong, Setiu, minggu hadapan.

Disiarkan pada: February 16, 2021 @ 5:14pm
d