mutakhir

Pegawai JAINJ didakwa terima sogokan

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM26,800, antara Oktober hingga November dua tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Hazlin Hashim, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas setiap pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Menurut pertuduhan, dia sebagai penjawat awam yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S29 didakwa menerima tiga kali suapan rasuah bernilai RM12,800, RM7,000 dan RM7,000 di dalam akaun peribadinya.

Ia sebagai dorongan bagi mencadangkan sebuah syarikat pembekalan yang sama untuk mendapatkan kerja bagi Seminar Aqidah Sunnah Wal Jamaah Saudara Kita, Program Santuni Orang Asli Siri 2/2019 dan Program Santuni Orang Asli Siri 3/2019, masing-masing pada 27 dan 29 Oktober serta 4 November 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd Pauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam

Terdahulu, Nur Mahirah memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan pada mahkamah selain tertuduh diminta melapor diri ke Pejabat SPRM setiap bulan.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah menetapkan jaminan rendah dengan alasan dia mengalami masalah kewangan.

"Saya masih bertugas sebagai penjawat awam dengan gaji RM1,500. Saya hadapi masalah kewangan yang teruk dan hanya mampu membayar jaminan di bawah RM10,000," katanya.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut menasihatkan tertuduh mendapatkan peguam bagi membantunya menghadapi perbicaraan walaupun tertuduh memaklumkan dia tidak mampu menggunakan khidmat peguam.

"Kamu diminta lantik peguam. Bagaimana kamu mahu menghadapi perbicaraan ini kerana pertuduhan ke atas kamu amat serius dan berat," katanya.

Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 3 Mac depan bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.

Disiarkan pada: February 17, 2021 @ 11:22am
d