mutakhir

Didik TV penyelesaian isu gajet, liputan internet

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Rata-rata ibu bapa dan murid negeri ini menyambut baik pelaksanaan Didik TV Kementerian Pendidikan malah, menyifatkan ia inisiatif yang membantu memudahkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Koordinator jualan, Nor Hidayu Zakaria, 39, berkata, kewujudan Didik TV dapat menyelesaikan isu gajet dan liputan rangkaian internet yang dihadapi ketika pelaksanaan PdPR, memandangkan kebanyakan keluarga mempunyai siaran televisyen.

"Saya ada tiga anak yang bersekolah iaitu seorang di sekolah menengah, manakala dua lagi di sekolah rendah.

"Sejak pelaksanaan PdPR, mereka bergilir-gilir menggunakan telefon bimbit namun berdepan kekangan kerana liputan internet yang lemah.

"Memang susah sebab adakalanya, ada anak saya tidak dapat mengikuti kelas apabila masa pembelajaran mereka bertembung," kata ibu empat anak berusia enam bulan hingga 15 tahun itu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara Marang, Damia Nur Dalila Zulkifli, 15, berkata, pelancaran Didik TV memudahkannya untuk mengulangkaji pelajaran di rumah.

"Sebelum ini, saya menggunakan telefon bimbit di rumah namun terpaksa menunggu ibu atau ayah berada di rumah kerana mahu menggunakan internet.

"Apabila guna internet, ada kekangan sedikit kerana liputan tidak stabil sebab perlu berkongsi dengan dua adik-beradik lagi.

"Dengan adanya saluran ini, saya juga boleh rancang masa pembelajaran malah lebih selesa berbanding guna telefon bimbit," katanya.

Murid Sekolah Kebangsaan Gong Tok Nasek, Adam Haris Yusof, 10, pula melihat pelaksanaan TV pendidikan sedikit sebanyak membantu pembelajaran di rumah, berbanding hanya bergantung kepada PdPR secara dalam talian.

Katanya, dia juga lebih puas hati kerana tidak mempunyai masalah gangguan internet.

DIDIKTV Road To Success SPM (2020): https://www.youtube.com/playlist?list=PLL9CnO8V-9tvp_AF9MyM2eGttS6TjITng

Disiarkan pada: February 17, 2021 @ 3:34pm
d