mutakhir

Dituduh rogol anak tiri dalam kereta [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol anak perempuan tirinya di dalam kereta pada awal bulan ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki berusia 43 tahun itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol anak tirinya yang berusia 15 tahun di dalam kereta di tepi Jalan Bagan Jermal pada 4 Februari lalu, jam 6.30 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa perbicaraan berlangsung, tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia mempunyai masalah kesihatan akibat masalah paru-baru serta buah pinggang dan masih menerima rawatan di hospital.

Lelaki itu juga memberitahu bahawa dia tidak mempunyai penjamin.

Hakim kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Mahkamah menetapkan 18 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula.

Disiarkan pada: February 18, 2021 @ 1:31pm
d