mutakhir

Keluarga mangsa basikal lajak mahu kes selesai segera

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Keluarga remaja basikal lajak yang terkorban dalam tragedi pada 18 Februari 2017, mengharapkan pengakhiran dan penutupan terhadap kes berkenaan.

Ibu mangsa, Nur Cahaya Amrun, 40, yang juga ibu kepada Fauzan Halmijan, 13, berkata, keluarga berdepan tekanan emosi dan trauma berikutan dilemparkan pelbagai tuduhan termasuk tidak pandai menjaga anak.

Katanya, kecaman terutama di media sosial sangat mengguris hati keluarga mangsa terkorban di saat mereka kehilangan anak yang dijaga sejak kecil.

"Saya diarahkan hadir ke mahkamah oleh polis semalam. Sebenarnya kami keberatan, namun hadir bagi memberikan kerjasama.

"Sebagai keluarga, kami mahu kes ini ada penutup dan pengakhirannya. Tidak kiralah apa keputusan yang terbaik, kami terima dengan terbuka.

"Anak kami pun sudah empat tahun meninggal, hari ini pula genap empat tahun tragedi berlaku," katanya ketika ditemui.

Hari ini, Mahkamah Tinggi, di sini, membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap perintah pelepasan dan pembebasan jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak oleh Mahkamah Majistret pada 28 Oktober 2019.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Shahnaz Sulaiman, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, terhadap Sam Ke Ting, 26.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, Ke Ting diarahkan untuk membela dirinya pada perbicaraan yang ditetapkan pada 9, 10 dan 11 Mei depan.

Tragedi menyayat hati itu berlaku di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

Remaja yang maut dalam tragedi berkenaan adalah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Sementara itu,seorang lagi ibu mangsa,Faizah Ishak, 45, berkata, besar harapannya supaya kes terbabit selesai segera.

"Saya harap sangat perbicaraan di mahkamah kelak dapat mencari pengakhiran bagi menuntut keadilan kepada Allahyarham Mohd Sharul Izzwan dan tujuh lagi yang terkorban dalam kejadian yang berlaku empat tahun lalu.

"Mak cik dan suami (Azzuraimee Azik, 46) reda dengan kejadian yang menimpa anak kami itu, kami sentiasa berdoa dan mengharapkan yang terbaik," katanya.

Berita berkaitan:

  • Kes basikal lajak: Wanita diarah bela diri
  • Disiarkan pada: February 18, 2021 @ 1:51pm
    d