mutakhir

Jual replika kereta mini bantu keluarga [METROTV]

Oleh Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Di saat remaja lain menghabiskan masa bersama rakan, Mohamad Amirul Asyraaf Zani,17 pula tekun mencipta kereta mini untuk jualan membantu keluarga.

Mohamad Amirul berbuat demikian bagi membantu ibu, Zawiah Mat Din, 47, yang berpendapatan tidak menentu sebagai tukang jahit selepas bapanya, Zani Mohamad, 49, kudung kaki kanan akibat penyakit kencing manis tujuh tahun lalu.

Remaja itu berkata, dia mula belajar membuat kereta mini daripada gabungan simen jenis epoxy putty dan plastik ketika berusia 12 tahun.

Bagaimanapun, dia mula menjual kereta mini buatannya di bawah nama Pak Tam Garage sejak dua tahun lalu bagi meringankan keluarganya yang hidup susah.

"Saya hasilkan kereta mini berdasarkan tempahan pelanggan yang kebanyakannya mahu model sama seperti kereta milik mereka sebagai kenangan.

"Setakat ini saya dah jual 20 kereta mini kepada pelanggan di Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan Kelantan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pauh Butut, Peringat, Melor.

Mohamad Amirul berkata, dia mengambil masa antara tiga minggu hingga dua bulan untuk menghasilkan kereta mini dengan kebanyakannya tempahan diterima membabitkan kereta jenama tempatan seperti Proton Waja, Proton Wira, Perodua Myvi dan Perodua Viva.

Katanya, tempoh lama diperlukan bagi menyiapkan tempahan pelanggan yang memerlukan lima peringkat proses iaitu membuang cat, melicinkan badan kereta, memasukkan simen, menggosok menggunakan kertas pasir dan proses akhir mengecat.

"Alatan yang digunakan hanya pisau pengukir, kertas pasir, cat tin dan setiap replika ini mampu bertahan 10 tahun ke atas dengan penjagaan betul, biasanya replika ini dijadikan hiasan dan kenangan kepada peminat kereta," kata pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kala itu.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia menjual setiap rekaannya dengan harga RM100 hingga RM200 bergantung kepada reka bentuk dan permintaan pelanggan.

Katanya, biasanya replika yang ditempah adalah rekaan yang mempunyai bentuk, warna, rim, tayar dan nombor plat kenderaan seperti kereta asal pelanggan.

"Ada pelanggan yang paling saya ingat, dia membuat tempahan kereta mini buat hadiah ibunya yang kehilangan kereta tersayang, pelanggan siap buat video ibunya menangis dan itu memberi kepuasan buat diri saya sebagai pencipta kereta mini itu.

"Namun ada juga kecaman yang saya terima apabila mengatakan tiada orang akan membeli kereta mini saya yang dikatakan berharga mahal dan saya dipanggil gila selain menganggap kerja saya buat buang masa sedangkan saya cuba mencari rezeki halal buat keluarga," katanya.

Mohd Amirul berkata, ketika ini dia mempromosikan rekaannya di laman sosial Facebook miliknya, Pak Tam Garage dan menyertai laman sosial kumpulan persatuan dan kelab kereta bagi mencari pelanggan.

Disiarkan pada: February 18, 2021 @ 4:09pm
d