mutakhir

11 suspek godam laman web kerajaan dicekup

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Shah Alam: Polis menahan 11 individu dipercayai terbabit dalam aktiviti menggodam sistem komputer kerajaan dalam tujuh serbuan di seluruh negara, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman selepas risikan dan intipan sejak seminggu lalu.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun dan antara yang ditahan adalah pentadbir akaun Facebook Anonymous Malaysia.

"Tangkapan dibuat ekoran ugutan dan ancaman oleh kumpulan berkenaan untuk menggodam sistem komputer kerajaan sejak beberapa tahun lalu.

"Pada masa ini pihak polis masih lagi dalam proses menjalankan siasatan dengan lebih lanjut untuk mengenal pasti saki-baki suspek lain sebelum proses tangkapan susulan dilakukan," katanya selepas melawat Sekatan Jalan Raya, di Plaza Tol Setia Alam, di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata, semua suspek yang ditahan disyaki menjalankan serangan siber terancang terhadap laman web kerajaan dan swasta.

"Siasatan kita setakat ini tidak menolak kemungkinan 17 laman web yang sudah diceroboh," katanya.

Sementara itu berdasarkan maklumat yang diperoleh suspek yang ditahan turut disyaki terbabit melakukan pencerobohan kepada tiga sistem kerajaan negeri Johor, Sabah dan Kenenterian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Disiarkan pada: February 18, 2021 @ 6:13pm
d