mutakhir

KASA pasang kanvas kalis air di tebing sungai runtuh [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan sebanyak RM100,000 untuk kanvas kalis air bagi mengelak berlaku hakisan lebih serius di kawasan tebing sungai runtuh di Kampung Jalan Pohon Celagi, berdekatan Dataran Air Muleh di sini.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, ia sebagai langkah awal untuk menutup sepanjang 200 meter di tebing sungai daripada terus terhakis sementara beberapa pihak bertanggungjawab menjalankan tugas menyelesaikan masalah berkenaan.

Menurutnya, KASA mengambil dua langkah drastik bagi membantu menangani kejadian berkenaan iaitu selain penggunaan kanvas kalis air, pihak kami juga menjalankan satu kajian forensik berhubung pengurusan tebing sungai membabitkan kawasan di sepanjang dua kilometer lokasi berkenaan.

"Baik pulih kawasan ini tidak boleh dibuat secara terburu-buru atau mengejut, justeru satu kajian forensik pengurusan tebing sungai perlu dibuat bagi menghasilkan benteng yang lebih konkrit dan kukuh untuk jangka masa panjang agar kejadian sama tidak berulang lagi.

"Saya yakin kajian forensik ini tidak mengambil masa yang lama dan kita sudah membuat perbincangan antara Kerajaan Pusat melalui Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) untuk memastikan ia dapat disiapkan secepat mungkin.

"Apa yang berlaku di sini adalah sesuatu yang di luar jangkaan, saya berharap agar semua mangsa yang terbabit tabah menghadapi dugaan ini, selain mengambil pendekatan dengan jadikan ia sebagai satu pengajaran juga kepada tempat lain di sekitar Sungai Kelantan ini," katanya ketika ditemui selepas melawat kawasan tebing sungai yang runtuh itu, hari ini.

Ahmad Masrizal berkata, kejadian tebing sungai runtuh itu juga seperti memberi peringatan awal supaya pihak berkaitan menguruskan Sungai Kelantan dengan lebih baik bagi mengelakkan kejadian sama berlaku di kawasan lain.

"Sungai Kelantan ini panjang dan mungkin kejadian sebegini adalah salah satu amaran awal untuk tempat lain berwaspada, kemungkinan juga kejadian sama boleh berlaku.

"Tambahan pula, masa yang ada ini perlu digunakan sebaiknya untuk mencari jalan membaik pulih serta menjadikan tebing lebih utuh kerana bimbang musim tengkujuh yang melanda negeri ini setiap hujung tahun boleh memudaratkan lagi keadaan.

"Bagaimanapun, saya yakin dengan kerjasama semua agensi bertanggungjawab serta peranan kerajaan negeri, ia boleh diselesaikan segera," katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2021 @ 2:40pm
d