mutakhir

Kumpulan jenayah ragut Geng Ayoi Gombak tumpas [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis menumpaskan Geng Ayoi Gombak yang bertanggungjawab ke atas lebih 300 kes ragut yang dilaporkan di sekitar ibu negara sejak 2018.

Penjenayah terbabit dikatakan berselindung di sebalik perniagaan ayam goreng dan rokok elektronik (vape) untuk mengaburi pihak berkuasa dan dikatakan mampu meraih pendapatan antara RM50,000 hingga RM60,000 sebulan hasil aktiviti jenayah ragut.

Kegiatan dua lelaki berusia 31 dan 35 tahun itu terbongkar selepas polis menahan mereka dalam serbuan di Gombak, pada 26 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menjalankan siasatan dan risikan susulan laporan polis yang dibuat seorang wanita berusia 32 tahun.

"Dalam kejadian jam 2 petang pada 26 Januari lalu, mangsa mendakwa sedang menunggang motosikal di Wangsa Maju, sebelum gelang emas dipakainya diragut menyebabkan kerugian RM6,000.

"Bertindak atas laporan, pasukan JSJ melakukan serbuan dan menahan suspek di Gombak, kira-kira jam 9 malam hari sama," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Saiful Azly berkata, hasil serbuan polis merampas empat motosikal yang disyaki digunakan ketika penjenayah terbabit, beberapa keping nombor plat pendaftaran yang diubahsuai dan dua kereta Honda Civic FD serta Toyota Vellfire dengan nilai keseluruhan rampasan RM280,000.

Beliau berkata, turut dirampas beg tangan berjenama yang dipercayai dibeli untuk ahli keluarga menggunakan wang hasil ragut dan wang tunai.

"Kumpulan ini mensasarkan penunggang atau pembonceng motosikal yang memakai rantai dan gelang emas. Mereka akan bergerak serentak menggunakan motosikal masing-masing untuk meragut.

"Hasil ragut akan dijual kepada seorang lelaki dikenali Angah dengan harga RM190 satu gram. Angah adalah satu-satunya pembeli tetap kumpulan itu dan dia akan meleburkan emas terbabit sebelum dijual kepada peraih emas," katanya.

Katanya, polis percaya dengan tertumpasnya geng itu pihaknya berjaya menyelesaikan lebih 300 kes ragut di sekitar Kuala Lumpur sejak 2018 sehingga Januari tahun ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dieman mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 bermula 15 Februari sehingga 7 Mac ini dan akan turut disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

Disiarkan pada: February 19, 2021 @ 5:10pm
d