mutakhir

Vaksin untuk 10,924 anggota PDRM Perak

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Seramai 10,924 anggota dan pegawai polis yang berkhidmat di Perak bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, jumlah itu turut membabitkan semua formasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkhidmat di Perak.

"Ia selaras dengan pengumuman oleh kerajaan berkaitan program vaksinasi yang akan dilakukan kepada petugas barisan hadapan. Ia secara tidak langsung menaikkan motivasi petugas untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.

"Saya mewakili warga barisan hadapan PDRM Perak menzahirkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri atas keprihatinan menjadikan kami sebagai keutamaan penerimaan vaksin ini," katanya pada kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Perak yang bermula 22 Januari lalu sehingga semalam, berada pada paras 96 peratus dengan 1,745 kompaun dikeluarkan.

"Walaupun Perak diletakkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB) bermula hari ini, pergerakan merentas daerah dan negeri masih lagi tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran yang dikeluarkan PDRM," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 19, 2021 @ 5:16pm
    d