mutakhir

Tragedi rebus ubi kayu, tiga rumah hangus [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: "Tidak sangka tindakan saya merebus ubi kayu membawa kepada tragedi kebakaran tiga rumah termasuk rumah saya yang menjadikan kami semua sehelai sepinggang," kata seorang daripada mangsa kebakaran membabitkan tiga rumah di Kampung Laut, di sini, hari ini.

Wan Semek Mamat, 57, berkata dia merebus satu periuk ubi kayu di atas dapur di luar rumah sebagai hidangan mereka sekeluarga pada 11.30 pagi.

Menurutnya, tidak lama kemudian, ibunya, Wan Yah Wan Seman, 76, yang tinggal di sebelah rumah terdengar bunyi sesuatu disusuli bau hangit sebelum memaklumkan kepadanya.

Katanya, dia segera ke dapur untuk melihat ubi kayu direbusnya dan tidak menyangka ternampak api marak dan sedang membakar sebuah motosikal anaknya sehingga merebak ke dinding rumah.

"Saya mengagak tiupan angin menyebabkan api dapur menyambar kain di atas motosikal lalu segera mengejutkan empat anak yang berada di bilik masing-masing supaya keluar dari rumah kerana api merebak dengan cepat.

"Kami melarikan diri sehelai sepinggang dan saya hanya sempat mencapai dua plastik mengandungi bantal sahaja, sebelum cuba naik ke rumah bagi mengejutkan anak lelaki yang disangkakan sedang tidur," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Wan Semek berkata, dia kemudian menyedari anak lelakinya itu, Mohd Azlan Zakaria, 27, terjun menerusi tingkap bagi menyelamatkan diri.

Katanya, anaknya itu mengalami luka di pergelangan tangan kanan selepas memecahkan cermin kereta untuk menolak kenderaan itu ke tempat selamat kerana kunci berada di dalam rumah yang sedang terbakar.

Sementara itu, anak Wan Semek, Siti Rohana Zakaria, 26, berkata, dia yang ketika itu mengalami sakit kepala sedang berehat di dalam bilik dan mendengar jeritan ibunya dari luar sambil mengetuk pintu memberitahu rumah terbakar.

"Saya terus bangkit dan menuju ke rumah nenek yang uzur di sebelah untuk menyelamatkannya dan dengan dibantu adik beradik lain kami memapah nenek keluar dalam keadaan api marak di beberapa ruang dan dipenuhi asap.

"Nenek meminta kami masuk ke dalam rumah untuk mengambil jarum insulinnya kerana dia menghidap kencing manis, namun dalam keadaan api marak sebegitu, sudah tentu kami tidak mahu membahayakan nyawa," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.03 tengah hari.

Beliau berkata, seramai 25 pegawai dan anggota dari BBP Tumpat, Wakaf Bharu dan Kota Darulnaim tiba 10 minit kemudian.

"Sebaik tiba kami melihat tiga kediaman sedang terbakar dan proses pemadaman berdepan dengan halangan cuaca panas serta berangin selain struktur bangunan daripada kayu yang menyebabkan api merebak dengan pantas.

"Dua daripada kediaman itu terbakar 70 peratus manakala sebuah lagi 90 peratus," katanya sambil memberitahu punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: February 19, 2021 @ 6:51pm
d