mutakhir

Pergaduhan pada Hari Kekasih cetus kluster baharu Covid-19

Oleh BERNAMA

Kuching: Satu pergaduhan di Jalan Green, di sini, ketika sambutan Hari Kekasih pada 14 Februari lalu membawa kepada pengesanan satu daripada dua kluster baharu Covid-19 di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Douglas Uggah Embas berkata, kluster itu yang dikenal pasti sebagai Kluster Jalan Green turut menyebabkan 130 anggota polis dikuarantin.

Beliau berkata, indeks kes Kluster Jalan Green adalah kes ke-7,093 dan ke-7,094 yang dikesan melalui saringan orang kena tahan (OKT) tangkapan polis pada 14 Februari di Kuching.

"Hasil pengesanan dan saringan ke atas kontak kepada kedua-dua kes indeks ini mendapati tambahan empat kes dikesan.

"Sehingga 12 tengah hari, hari ini, seramai 148 individu disaring dan enam kes dikesan positif manakala 112 kes masih menunggu keputusan," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Covid-19 Sarawak, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, berkata keenam-enam kes positif dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak hari ini mengumumkan pengesanan Kluster Kejatau di Sri Aman.

Uggah berkata, Kluster Kejatau adalah kluster di tempat kerja membabitkan sebuah pejabat kerajaan di Wisma Persekutuan Fasa 2, Jalan Kejatau, Sri Aman.

"Sehingga 12 tengah hari, hari ini, seramai 92 individu disaring dan tujuh kes dikesan positif Covid-19 termasuk indeks kes, enam kes negatif dan 79 kes masih menunggu keputusan," katanya.

Hari ini, sebanyak 199 jangkitan baharu dikesan di Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di itu meningkat kepada 7,624.

Terdapat dua kematian baharu akibat Covid-19 di Sibu menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian meningkat kepada 69 mangsa di Sarawak.

Disiarkan pada: February 19, 2021 @ 9:39pm
d