mutakhir

Peruntukan RM550,000 laksanakan 253 Program Tuisyen Rakyat

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan hampir RM550,000 bagi 253 Program Tuisyen Rakyat sepanjang tahun lalu di seluruh negara, walaupun ketika pandemik Covid-19.

Program tuisyen itu dijalankan secara norma baharu (pembelajaran secara dalam talian) iaitu pembelajaran secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPdR) bertujuan untuk membantu meningkatkan keyakinan pelajar menjawab soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

'Program Tuisyen Road To Success' itu dikelolakan Kelab Rakan Motivasi (KRM) Kuala Lumpur sebagai badan bertindak bagi melaksanakan inisiatif itu.

Pengerusi YBR, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, beliau berharap program itu dapat memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan terutama masyarakat luar bandar dan miskin bandar menambah ilmu pengetahuan dan pengetahuan cara untuk menjawab soalan peperiksaan.

Menurutnya, semoga dengan usaha itu, pelajar bagi program berkenaan berjaya mendapat keputusan baik di dalam peperiksaan SPM bermula Isnin ini.

"Ketika negara masih berhadapan dengan pandemik Covid-19, YBR amat berharap program ini dapat memberi manfaat kepada pelajar berkenaan.

"Program seperti ini diharap dapat memberi inspirasi kepada organisasi lain bahawa program bantuan masih boleh dilaksanakan walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta PKP Bersyarat (PKPB) seperti kelas tuisyen secara dalam talian atau pelbagai lagi bentuk program kemasyarakatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian yang dijalankan secara dalam talian disertai hampir 300 pelajar yang menerima bantuan pendidikan melalui Program Tuisyen Road To Success.

Turut hadir, Pengerusi KRM Kuala Lumpur, Ahmad Badli Badaruddin dan Ketua Bahagian Operasi Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Nazir Hussin berkata, YBR akan lebih berusaha dan memperbanyakkan lagi program seperti ini yang bukan sahaja dapat membantu pelajar sekolah dalam mendapatkan pendidikan terbaik, malah membantu meningkatkan pencapaian pendidikan dalam negara.

Beliau berkata, ia selaras dengan matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia walaupun dilakukan secara langsung di alam maya.

YBR melaksanakan Program Tuisyen Rakyat sejak 2015 bertujuan untuk meningkatkan tahap pendidikan dalam kalangan rakyat Malaysia bagi membantu pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan dan mempunyai tahap pencapaian akademik sederhana, mendapat bimbingan kelas tambahan dalam kalangan guru sekolah terpilih.

Sehingga tahun lalu, seramai 80,445 pelajar memperoleh manfaat melalui program ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.02 juta.

Disiarkan pada: February 19, 2021 @ 10:23pm
d