mutakhir

'Jika tak capai sasaran kutipan, gaji penjaga mesin judi dikurang'

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Serdang: Kedai mesin judi yang baru beroperasi seminggu lalu di Jalan Kenari 3, Puchong, di sini, diserbu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bersama Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini.

Serbuan dilakukan pada 6.50 petang selepas MBSJ menerima aduan melalui emel berkaitan kegiatan premis terbabit sebelum menyerbu kedai mesin judi itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, dua penjaga lelaki warga Indonesia dan Myanmar bersama pemain membabitkan dua lelaki warga Bangladesh serta tujuh lelaki tempatan berusia 26 hingga 71 tahun ditahan.

Menurutnya, 19 komputer riba terbabit dalam perjudian itu bersama wang tunai RM465 dirampas.

"Siasatan mendapati premis ini baru beroperasi seminggu lalu bermula 10 pagi hingga 8 malam.

"Kebanyakan pengunjung adalah warga tempatan dan warga asing dengan penjaga dijanjikan upah RM1,000 sebulan," katanya.

Razali berkata, menurut penjaga terbabit, keuntungan harian diperoleh antara RM2,000 hingga RM3,000 sehari dan jika sasaran itu tidak dicapai, gaji penjaga akan dikurangkan.

Beliau berkata, premis itu pernah dikenakan waran geledah polis pada akhir 2019.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ( Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat)," katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2021 @ 10:44pm
d