mutakhir

Bagai mati hidup semula - bekas pesakit Covid-19

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: "Jika diberi peluang, saya mahu menjadi individu terawal menerima suntikan vaksin," kata bekas pesakit Covid-19, Mohammad Faizal Awang Kechil, 26.

Mohammad Faizal yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan pada Mac lalu berkata, dia percaya vaksin adalah salah satu usaha untuk menangani wabak berkenaan,

Katanya, walaupun ada sesetengah pihak yang masih mempertikaikan keberkesanan vaksin terbabit, namun dia merasakan ia adalah usaha untuk mendepani pandemik Covid-19.

"Saya juga berharap supaya program vaksinasi yang dilaksanakan kerajaan mencapai objektifnya.

"Jika diberi pilihan, saya mahu menjadi individu terawal untuk menerima suntikan vaksin. Saya sudah alami sendiri peritnya dijangkiti Covid-19.

"Alhamdulillah saya sembuh, ia seperti mati hidup semula selepas melalui tempoh sukar tahun lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohammad Faizal berkata, dia disahkan positif Covid-19 pada 23 Mac tahun lalu selepas mengalami demam serta batuk yang teruk.

"Saya boleh sifatkan bahawa Mac tahun lalu adalah detik sukar. Saya mengalami sesak nafas yang kritikal, ketika itu hanya ingat mati saja namun Alhamdulillah, Allah berikan kesihatan semula.

"Vaksin ini sebagai usaha kita, Insha-Allah vaksin ini mampu untuk meredakan pandemik Covid-19," katanya.

Menurutnya, dia sentiasa berdoa supaya pandemik Covid-19 segera berakhir sekali gus boleh menjalani kehidupan normal seperti sebelumnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 20, 2021 @ 5:03pm
    d