mutakhir

Carilah tempat lain untuk 430 anjing, kucing jalanan Pak Mie Shelter

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Pendang: Lebih 700 penduduk di Kampung Kubang Jelai, Tokai di sini, membantah tindakan untuk memindahkan kira-kira 430 anjing dan kucing jalanan dari pusat pengurusan haiwan terbiar, Pak Mie Shelter di Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar ke sebuah gudang persendirian di kampung mereka esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Kubang Jelai Md Daud Rusdi Hassan, 62, berkata, ia berikutan majoriti penduduk di kampung itu beragama Islam selain gudang itu berhampiran dengan masjid.

Katanya, penduduk turut bimbang sisa buangan najis haiwan itu akan disalirkan ke sungai (tali air MADA) berhampiran kerana ia menjadi sumber air hampir 100 hektar sawah di kawasan itu.

"Pihak saya mendapat tahu bahawa Ustaz Ebit Lew mahu menyewa sebuah gudang di kampung ini menerusi akaun Facebook beliau malam semalam, kami semua terasa hati kerana penduduk di sini boleh dikatakan semuanya Islam.

"Walaupun gudang itu adalah hak persendirian seorang daripada penduduk kampung ini, namun kehadiran anjing pasti akan mengganggu penduduk dengan salakan serta bau kurang menyenangkan," katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman di sini, petang tadi.

Menerusi perkongsian Ebit Lew di laman Facebook Khamis lalu, beliau menyewa sebuah gudang untuk dijadikan 'zoo taman' dengan kadar sewa RM4,300 sebulan.

Md Daud berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang malam tadi dan usaha untuk menghubungi Ebit Lew masih gagal (setakat jam 7 malam tadi) bagi memaklumkan hal berkenaan.

"Penduduk kampung juga akan membuat demonstrasi aman esok bagi membantah penempatan haiwan ini," katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Hayati berkata, pihaknya akan membawa perkara terbabit sekali lagi ke mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri agar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) untuk memberi masa kepada kerajaan negeri mencari tempat baharu.

Katanya, pemindahan itu dilakukan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembetungan Kota Setar.

"Kita sebenarnya ada beberapa cadangan di lokasi lain yang jauh dari penempatan manusia untuk dijadikan pusat pengurusan anjing dan kucing Pak Mie Shelter.

"Buat masa sekarang lokasinya masih perlu dirahsiakan. Pada mesyuarat lalu, tidak ada pegawai daerah yang sanggup menerima penempatan haiwan ini tetapi selepas mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri minggu depan, kita harap ada penyelesaian terbaik untuk dapatkan tempat yang sesuai dan tidak mengganggu persekitaran masyarakat," katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2021 @ 7:12pm
d