mutakhir

'Jangan pisahkan kami' [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Mas: "Jangan ambil mereka, saya boleh jaga, tolonglah jangan pisahkan kami berlima," pinta Ana (bukan nama sebenar) berusia 11 tahun.

Ana menggalas tanggungjawab menjaga tiga adiknya berusia setahun sehingga enam tahun, dibantu abangnya berusia 12 tahun, selepas kedua-dua ibu bapa mereka ditahan polis akibat penyalahgunaan dadah.

Dia bagaikan ibu buat adik-adik yang bergantung harap terutama si bongsu yang sentiasa berada di pangkuannya, malah banyak menghabiskan masa di rumah tidak seperti kanak-kanak lain yang bebas bermain dengan rakan seusianya.

"Setiap pagi, rutin harian saya ialah bangun untuk mandikan adik-adik dan memberi mereka makan atau minum. Biasanya, saya hanya memberi adik susu pekat manis dibancuh dengan air yang direbus di atas dapur kayu.

"Makan pula apa yang ada sahaja, biasanya saya akan menggoreng telur atau masak mi segera sahaja yang dibeli oleh datuk. Ada masanya jiran datang ke rumah membawa lauk pauk untuk kami.

"Kami menumpang berteduh di rumah datuk yang juga menghidap pesakit asma kronik dan tidak boleh bekerja," katanya ketika ditemui

Ana berkata, dia hanya bersekolah sehingga tahun tiga sahaja, begitu juga dengan abangnya selain meluahkan keinginan untuk kembali bersekolah kerana sedar hanya ilmu yang boleh mengubah kehidupan mereka adik beradik.

Bagaimanapun katanya, dia risau siapa yang akan menjaga adik-adiknya jika dia kembali bersekolah dan yang paling ditakutinya, jika mereka dipisahkan antara satu sama lain.

"Ada sahaja yang datang menjenguk kami di sini dan meminta kebenaran saya untuk mengambil adik, saya sekeras-kerasnya tidak memberi kerana sayang mereka semua. Cukuplah kami diuji dengan 'hilang sementara' ibu dan bapa, jangan ditambah dengan perpisahan antara kami.

"Jujurnya, saya rindu ibu dan ayah, macam mana buruk sekali pun, mereka tetap orang tua kami, namun saya harap mereka insaf dan tidak melakukan kesilapan lagi demi kami," katanya yang petah berkata-kata selain murah dengan senyuman.

Sementara itu, datuk mereka berkata Ana cucu yang bertanggungjawab dan tidak pernah meninggalkan adiknya terutama yang bongsu malah sentiasa dibawanya ke mana sahaja dia pergi.

"Saya sendiri tidak berdaya membantu, kerana sakit yang dialami, manakala isteri saya lebih banyak keluar menjual minyak angin untuk menampung kehidupan kami. Jadi, memang Ana sendiri yang banyak menjaga adik-adiknya.

"Dia anak yang kuat dan kental, semua kerja dia lakukan sendirian termasuk menidurkan serta memandikan adik-adik selain banyak mengorbankan masa kanak-kanaknya," katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2021 @ 12:44pm
d