mutakhir

Kes baharu lebih 3,000, peningkatan mendadak di Perak

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kes Covid-19 meningkat dengan 3,297 kes baharu direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan itu disebabkan kes positif di Perak membabitkan Kluster Jalan Changkat Jong di Teluk Intan dengan jumlah keseluruhan kes negeri itu sebanyak 1,215 kes.

Menurutnya, kluster berkenaan merekodkan 1,046 kes pekerja kilang dan 10 kes kontak rapat keluarga.

"Bagi kluster itu, 1,029 kes membabitkan bukan warganegara manakala bakinya warga tempatan.

"Tindakan bersasar sudah dijalankan dengan penutupan kilang itu sejak Selasa lalu dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dibuat di asrama, kilang dan tapak binaan kilang," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan lain, lima kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 1,056 kes.

Katanya, sebanyak 4,456 kes sembuh dilaporkan hari ini dengan jumlah kes aktif 33,304 kes.

"Seramai 209 kes (pesakit) masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala 91 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Disiarkan pada: February 21, 2021 @ 6:42pm
d