mutakhir

Hadiah 100 tablet kepada pelajar miskin 'pandu lalu'

Oleh Hassan Omar

Masjid Tanah: Kegembiraan jelas terpamer pada wajah 100 pelajar kurang berkemampuan apabila mereka menerima hadiah tablet untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Mereka berasal dari keluarga B40 turut menerima kad SIM bernilai RM100 supaya tidak ketinggalan daripada mengikuti proses berkenaan, selain mengelakkan terpaksa berebut tablet sesama adik-beradik lain.

Sumbangan itu disampaikan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin secara pandu lalu di perkarangan Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Masjid Tanah di pekan ini, khusus untuk 100 penerima pertama manakala 200 lagi akan diberikan minggu ini.

Mas Ermieyati berkata, beliau memperuntukkan lebih RM100,000 untuk menyediakan tablet berkenaan bagi membolehkan pelajar dalam Parlimen Masjid Tanah tidak ketinggalan daripada mengikuti PdPR.

"Oleh sebab ramai yang merayu untuk mendapatkan tablet, saya akan menambah 200 lagi tablet minggu ini sebagai tambahan 100 yang saya serahkan pagi ini ( semalam)

"Saya harap Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengambil langkah perlu bagi meningkatkan liputan internet di beberapa kawasan dalam parlimen ini," katanya selepas menyempurnakan penyerahan itu.

Sementara itu Mohd Nabil Roslan, 11, berkata, dia amat gembira menerima tablet berkenaan kerana sebelum ini terpaksa meminjam telefon bimbit ibunya, Suhana Jamian, 37, untuk mengikuti PdPR.

"Saya terpaksa berebut dengan kakak dan adik untuk mengikuti kelas tetapi dengan adanya tablet ini, Alhamdulillah saya tidak perlu berebut lagi," katanya.

Nor Alif Eldini Ahmad Tarmimi, 11, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Linggi berkata, bapanya Ahmad Tarmimi Mohamad, 41, tidak mampu menyediakan tablet atau telefon bimbit kerana sekadar kerja kampung.

"Saya terpaksa meminjam telefon ibu, Norsuria Musa, 34, untuk mengikuti kelas dan terpaksa bersusah-payah mencari liputan internet kerana rumah kami jauh dari jalan raya," katanya.

Mohd Izhar Naim Hasni Zainizam, 11, berkata dia amat bersyukur dipilih sebagai penerima alat komunikasi berkenaan berikutan sebelum ini terpaksa meminjam telefon bimbit rakannya.

Disiarkan pada: February 21, 2021 @ 7:08pm
d