mutakhir

Pemburu maut tertembak diri sendiri

Oleh Norsyazwani Nasri

Kanowit: Seorang pemburu maut dipercayai tertembak diri sendiri di perut ketika memburu binatang di Hutan Latong, Machan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam, mangsa berusia 30 tahun keluar memburu menggunakan senapang patah bersama tiga rakannya.

Ketua Polis Daerah Kanowit Deputi Superintendan Tega Bilong berkata, setibanya di lokasi, mangsa yang membawa senapang patah berjalan di hadapan dan diekori rakannya di belakang.

"Selepas beberapa minit memasuki hutan, tiba-tiba rakan-rakannya terdengar bunyi letupan senjata api dari arah mangsa yang ketika itu berada kira-kira 10 meter di hadapan.

"Rakan mangsa bergegas ke arah bunyi letupan dan mendapati mangsa berada dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tembakan di perut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, rakan mangsa kemudian bergegas membawanya ke Hospital Kanowit bagi mendapatkan rawatan.

"Namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan pada jam 11.15 malam.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat dan laporan polis dibuat untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Disiarkan pada: February 21, 2021 @ 8:55pm
d