mutakhir

Negeri Sembilan buka semula Taman Eko Rimba, Taman Negeri

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Selepas ditutup hampir empat bulan, kini kawasan Taman Eko Rimba dan Taman Negeri serta laluan pendakian bagi tujuan rekreasi di Hutan Simpanan Kekal Negeri Sembilan dibuka semula kepada pengunjung awam, mulai Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaluddin berkata, bagaimanapun semua aktiviti dan kehadiran pengunjung di kawasan berkenaan adalah tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita telah membuka kembali semua Taman Eko Rimba dan Taman Negeri selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun begitu semua aktiviti perlu mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, semua kawasan Hutan Lipur, Taman Negeri, laluan pendakian dan aktiviti bagi tujuan rekreasi, pacuan empat roda dan sebagainya di dalam Hutan Simpanan Kekal di Negeri Sembilan adalah tidak dibenarkan dan ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Keputusan itu dibuat selaras arahan MKN melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988 bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini.

Saleh berkata, bagi mereka yang ingin memasuki kawasan hutan kekal, mereka perlu berdaftar dan mendapat permit daripada Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan terlebih dulu melalui dalam talian, sebagai langkah pemantauan.

"Tatacara pembayaran boleh diperoleh menerusi laman Facebook jabatan perhutanan negeri," katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2021 @ 2:27pm
d