mutakhir

Tanam 2.05kg syabu di sekitar rumah [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Seorang penganggur menanam dadah jenis syabu di kawasan rumah sewanya di Kampung Jambu Bongkok, Merchang, di sini, bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, perbuatan suspek berusia 22 tahun itu terbongkar susulan serbuan dilakukan di rumah sewanya pada 1 pagi kelmarin.

Selain itu, polis turut menahan tunang suspek berusia 21 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah serta wang tunai RM42,000 dengan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM600,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu, Superintendan Tium Ming Kung berkata, kegiatan suspek itu terbongkar selepas dia ditahan ketika berada di tepi jalan di kampung sama selepas berada dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, soal siasat membawa serbuan ke rumah suspek sebelum menemui pelbagai jenis dadah seperti 2,051.90 gram (g) syabu, 1,096.80g heroin, 899g pil kuda dan 4,500 mililiter kodien.

"Dadah jenis syabu itu ditemukan ditanam di dalam empat lubang di sekitar rumahnya dan dia dipercayai baru memperoleh bekalan berkenaan minggu lalu dari negeri jiran untuk pasaran Terengganu.

"Selain itu, kami turut menyita sebuah kereta Suzuki Swift, motosikal, barangan perhiasan serta wang tunai RM42,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, di sini, hari ini.

Tium berkata, siasatan mendapati rampasan itu mampu dibekalkan kepada lebih 24,000 penagih dan suspek dipercayai mula terbabit dalam pengedaran dadah sejak hujung tahun lalu.

Beliau berkata, Katanya, siasatan mendapati suspek lelaki mempunyai tiga rekod kes dadah dan empat jenayah manakala tunangnya tiada rekod jenayah.

Menurutnya, dua suspek yang negatif ujian saringan air kencing itu kini direman selama tujuh hari sehingga 26 Februari depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: February 22, 2021 @ 2:36pm
d