mutakhir

Sayu lihat anak duduki SPM di atas kerusi roda

Oleh BERNAMA

Besut: Tiada kata dapat menggambarkan perasaan sedih apabila melihat anak yang sebelum ini aktif dan bersemangat, akhirnya terpaksa menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan berkerusi roda.

Mohd Syamsu Izani Yaacob, 41, berkata anaknya, Saniha mula mengalami gangguan saraf pada Disember tahun lalu, namun dalam pelbagai kekangan Saniha tetap mahu mengambil peperiksaan SPM yang bermula hari ini.

Beliau berkata, meskipun tidak dapat menjangka apa yang bermain dalam fikiran Saniha, dia yakin anaknya itu mempunyai kekuatan mental luar biasa dan mampu menjawab soalan dengan sebaik mungkin demi masa depan.

"Anak sulung saya ini mengalami masalah untuk berjalan dengan sempurna dan berdiri lama selepas mendapat rawatan di sebuah hospital di Kuala Terengganu akhir tahun lalu.

"Keadaan itu berlaku selepas pihak hospital mengambil sampel air tulang belakang untuk mengenal pasti masalah sakit kepala dan kerap pengsan dialami Saniha sejak Februari tahun lalu.

"Sebelum itu pihak hospital meminta kebenaran saya dan doktor ada memberitahu kemungkinan Saniha akan mengalami kesan sampingan untuk tempoh tertentu. Saniha kini turut mengalami sakit di bahagian leher," katanya ketika ditemui Bernama selepas menghantar anaknya itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bukit Puteri, di sini, hari ini.

Mohd Syamsu Izani yang bekerja sebagai pemandu jentolak berkata, dia terpaksa meminta kebenaran pihak sekolah untuk membawa sendiri anaknya ke dewan peperiksaan sebagai tanda sokongan sebelum menjawab soalan kertas Bahasa Melayu 1 pada pagi ini diikuti Bahasa Melayu 2 pada sebelah petang.

"Sepanjang masa peperiksaan Saniha akan duduk di atas kerusi roda kerana kerusi biasa digunakan pelajar agak keras untuk tempoh lama dan dia masih sakit pada bahagian belakang.

"Saya tidak pasti sejauh mana Saniha dapat menjawab soalan kerana selama ini Saniha tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran disebabkan masalah kesihatan dialaminya, malah sepanjang persekolahan secara bersemuka baru-baru ini pun dia tidak dapat hadir ke sekolah," katanya.

Saniha adalah anak sulung daripada tiga beradik dan kedua-dua adiknya Muhammad Hilman, 15, dan Safawati, 13 turut belajar di sekolah sama.

Mohd Syamsu Izani berkata, sebelum ini Saniha bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti dan disebabkan itu beliau bersungguh-sungguh untuk berdepan dengan peperiksaan penting itu meskipun dalam keadaan agak terbatas.

Salina adalah salah seorang daripada 86 calon daripada SMK Seri Bukit Seri Bukit Puteri yang menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

Disiarkan pada: February 22, 2021 @ 4:22pm
d