mutakhir

Kes tertukar bayi: Tindakan tatatertib terhadap petugas cuai

Oleh Amir Mamat

Melaka: Jabatan Kesihatan Negeri melakukan siasatan dalaman terhadap kes tertukar bayi di Hospital Melaka, minggu lalu sama ada berlaku kecuaian petugas kesihatan atau sebaliknya.

EXCO Kesihatan dan Antidadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan tatatertib juga perlu dikenakan ke atas petugas kesihatan berkenaan jika terdapat unsur kecuaian sehingga menyebabkan kes itu berlaku.

"Kes ini tidak pernah berlaku di Melaka dan ia dikatakan berpunca daripada kesilapan dan kecuaian petugas.

"Jadi saya mengesyorkan supaya petugas kesihatan yang terbabit dikenakan tindakan tatatertib kerana ia adalah kes yang serius," katanya pada sidang media di pejabatnya di Ayer Molek, di sini, hari ini.

Baru-baru ini insiden tertukar bayi yang dilahirkan pada 12 Februari lalu seberat 3.1 kilogram ditularkan seorang wanita dilaman Facebook miliknya.

Dalam status yang dimuat naik itu, wanita berkenaan dilaporkan berkata, dia dibenarkan pulang pada 15 Februari lalu dengan bayi lelakinya terpaksa ditahan wad hospital kerana jaundis.

Bagaimanapun, pada 17 Februari lalu, ketika dia datang semula ke hospital untuk menyusukan bayinya, dia terkejut seorang lagi bayi lelaki yang diletakkan katil bayi bukan anaknya, sebaliknya milik orang lain manakala bayinya pula sudah diambil orang lain selepas dibenarkan keluar wad pada waktu tengah hari, hari sama.

Bagaimanapun, pihak hospital berjaya menghubungi pemilik sebenar bayi di hospital berkenaan dan keduanya menukar semula bayi masing-masing.

Sehubungan itu, Rahmad berkata, kes tertukar bayi terbabit bagaimanapun diselesaikan dengan baik antara pihak hospital dan kedua-dua keluarga.

"Justeru, saya mewakili Kerajaan Negeri Melaka serta Jabatan Kesihatan Negeri memohon maaf mengenai perkara itu dan berharap kejadian itu tidak berulang lagi," katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2021 @ 5:18pm
d