mutakhir

Lenggong bakal diisytihar sebagai Geopark Kebangsaan [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Cadangan mewujudkan Geopark Kebangsaan di Lenggong bakal terlaksana pada Julai tahun ini selepas kajian yang dijalankan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sudah berada di fasa akhir.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, jawatankuasa dan pasukan di bawah kementeriannya sudah berada pada fasa melengkapkan kajian berhubung cadangan itu sebelum ia dibentangkan dalam tempoh terdekat.

"Jika tiada halangan, kita akan isytiharkan Geopark Lenggong sebagai Geopark Kebangsaan kedua di negeri ini iaitu selepas Geopark Kebangsaan Lembah Kinta.

"(Upacara) pecah tanah kepada pembangunan galeri Geopark Lenggong akan dilaksanakan pada Mac ini oleh Menteri Besar Perak (Datuk Saarani Mohamad) dengan komitmen kita juga tinggi agar ia mampu diangkat menjadi Geopark Global menjelang 2025," katanya ketika sidang media lawatan kerjanya ke Geotapak Gunung Lang di Geopark Lembah Kinta di sini, hari ini.

Hadir sama hadir Ketua Setiausaha KeTSA Datuk Zurinah Pawanteh; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin@Md Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Galian Hisamuddin Termidi.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, ketinggian nilai sejarah dan warisan di Lenggong semestinya melayakkannya mendapat pengiktirafan untuk diangkat menjadi Geopark Global tanpa menjejaskan penarafannya sebagai Tapak Warisan Dunia.

"Yang pastinya (Geopark) di Lenggong tidak akan mengganggu, sebaliknya melengkapkan pengiktirafannya sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) beberapa tahun lalu.

"Geopark ini juga agak berbeza kerana sepatutnya kawasan yang diwartakan sebagai 'heritage' (warisan) tidak boleh dibangunkan untuk aktiviti lain.

"Namun ia tidak menghalang untuk pembangunan ekonomi, selagi mana tidak menjejaskan penilaian tahunan yang dibuat," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shamsul Anuar turut menyokong rancangan kerajaan negeri untuk menyenaraikan Gua Matsoorat yang terletak di utara bandar raya ini sebagai geotapak ke-19 dalam senarai Geopark Lembah Kinta berbanding 18 yang sedia ada.

Disiarkan pada: February 22, 2021 @ 7:42pm
d