mutakhir

SADA berhadapan sumber air terhad

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Syarikat Air Darul Aman (SADA) sedang berusaha memastikan pengguna di kawasan Kuala Kedah yang mengalami masalah gangguan bekalan air tidak terputus bekalan, walaupun SADA berhadapan sumber sangat terhad.

Pegawai Perhubungan Awam SADA Anas Aidi Md Rozai berkata, pihaknya sedia maklum mengenai masalah air di Kuala Kedah dan ia dalam perhatian pihaknya.

"Sekiranya berlaku kecemasan seperti kematian, SADA akan menghantar bekalan air menggunakan lori berdasarkan permohonan.

"SADA juga sudah mengaktifkan kembali rumah pam di fasa satu, tiga dan empat Taman Bersatu untuk membantu menstabilkan bekalan air di kawasan berkenaan," katanya pada kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan, lebih 20,000 penduduk sekitar Kuala Kedah mengalami masalah bekalan air sehingga menyukarkan kehidupan harian mereka sejak lebih lima tahun lalu.

Mengulas lanjut, Anas Aidi berkata, pembangunan pesat terutamanya perumahan di sepanjang Jalan Simpang Kuala ke Kuala Kedah menyebabkan permintaan bekalan air terawat meningkat setiap tahun berbanding kapasiti pengeluaran di Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang, Jitra.

Katanya, pada musim cuti seperti cuti perayaan, cuti persekolahan atau cuti hujung minggu, permintaan bekalan air terawat meningkat sekali ganda berikutan kadar penggunaan air yang lebih berbanding hari biasa.

"Keadaan ini menyebabkan kadar aliran dan tekanan air mengalami penyusutan serta menjejaskan operasi rumah pam utama yang membekalkan air ke kawasan penduduk.

"Untuk tindakan jangka masa singkat, aktiviti takungan tangki pada waktu malam dilakukan bagi meningkatkan semula paras tangki supaya berada ditahap yang memuaskan untuk membekalkan air pada hari berikutnya," katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh aktiviti ini dilakukan, ia sedikit menjejaskan aliran dan tekanan air yang sampai kepada pengguna.

Katanya, bagi skim perumahan yang sedang dalam perancangan atau dalam fasa pembinaan di Kuala Kedah dan berhampirannya, pihak pemaju akan menyediakan sistem rumah pam dan tangki di fasa perumahan masing-masing tanpa menjejaskan operasi rumah pam taman perumahan sedia ada di kawasan berhampiran.

"Untuk cadangan penyelesaian jangka masa panjang, seperti yang sedia maklum adalah cadangan menaik taraf LRA Pelubang termasuk pemasangan paip khusus untuk kawasan Kuala Kedah yang akan dilaksanakan pembinaannya oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) yang kini pada peringkat tender.

"Sekiranya kerja menaik taraf LRA Pelubang dilaksanakan sebagaimana perancangan dan siap beroperasi sepenuhnya, kawasan penghujung iaitu pekan Kuala Kedah akan menerima impak daripada segi tambahan bekalan dan tekanan air," katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2021 @ 5:24pm
d