mutakhir

Mkini Dotcom bayar denda RM500,000

Oleh BERNAMA

Putrajaya: Mkini Dotcom Sdn Bhd yang mengendalikan portal berita Malaysiakini membayar denda RM500,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan selepas mendapati syarikat itu bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca.

Syarikat itu yang diwakili peguam A Surendra Ananth ketika dihubungi mengesahkan denda berkenaan dibayar di kaunter mahkamah, hari ini.

Beliau berkata, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Premesh Chandran pergi ke Istana Kehakiman untuk membayar denda terbabit.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan Mkini Dotcom membayar denda itu dalam tempoh tiga hari bermula Isnin lalu.

Mkini Dotcom didenda RM500,000 oleh panel tujuh hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf kerana menghina mahkamah selepas mahkamah mendapati pertuduhan mempermudah penerbitan lima komen pembaca terhadap syarikat itu sudah dibuktikan.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan tidak bersalah menghina mahkamah.

Dalam keputusan majoriti 6-1, Hakim Rohana berkata, Mkini Dotcom mempunyai kawalan penuh terhadap bahan yang boleh dan tidak boleh diterbitkan, justeru ia harus bertanggungjawab terhadap risiko yang menyusul daripada cara platformnya dioperasikan.

Beliau berkata, syarikat itu mempermudah penerbitan komen menghina oleh pihak ketiga, pelanggan.

Hakim lain yang bersetuju dengan keputusan majoriti ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan yang membuat keputusan menentang merumuskan, Mkini Dotcom serta Gan tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kesalahan menghina mahkamah kerana pemohon (Peguam Negara) gagal membuktikan melangkaui keraguan munasabah bahawa mereka (responden) memiliki pengetahuan tentang kewujudan komen pihak ketiga serta dengan sengaja berniat menyiarkan komen-komen berkenaan.

Pada 17 Jun tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan kebenaran ex-parte Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom serta Gan berhubung komen lima pembaca mengenai satu artikel yang disiarkan oleh Malaysiakini pada 9 Jun, bertajuk 'CJ orders all courts to be fully operational from July 1' yang didakwa bersifat menghina.

Pada 2 Julai tahun lalu, Mkini Dotcom dan Gan gagal membatalkan kebenaran yang diperoleh oleh Peguam Negara bagi memulakan prosiding komital terhadap mereka.

Dilaporkan syarikat itu berjaya mengumpulkan lebih RM500,000 melalui sumbangan orang ramai.

Disiarkan pada: February 23, 2021 @ 6:27pm
d