mutakhir

1,086 Pati warga Myanmar 'balik kampung'

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Seramai 1,086 pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Myanmar dihantar pulang hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, semua Pati Myanmar itu dihantar menggunakan tiga kapal Tentera Laut Myanmar melalui Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak.

Menurutnya, proses penghantaran itu hasil kerjasama JIM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TLDM, Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dan Kedutaan Myanmar.

"Pati warganegara Myanmar yang dihantar iniditahan di depoh JIM seluruh negara sejak tahun lalu.

"JIM ingin menegaskan bahawa semua tahanan yang dihantar pulang adalah warganegara Myanmar dan tidak membabitkan etnik Rohingya atau pencari suaka.

"Semua yang dihantar pulang itu bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, program penghantaran pulang ini sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran JIM bagi tahanan yang ditempatkan di depoh Imigresen.

Beliau berkata, proses pengusiran pada tahun lalu agak perlahan kerana kebanyakan negara menutup pintu sempadan masing-masing kerana Covid-19.

"JIM melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Wisma Putra akan terus berusaha untuk mendapatkan persetujuan negara terbabit seperti Vietnam, Indonesia, Bangladesh dan lain-lain supaya membawa pulang rakyat mereka yang kini ditahan dalam depoh Imigresen dalam jumlah yang besar," katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2021 @ 6:45pm
d