mutakhir

Nafi terima gelaran Datuk kerana dedah penipuan 1MDB

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang saksi dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menafikan pingat Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk diterimanya tahun lalu adalah kerana beliau mempunyai bukti dalam kes itu.

Pengarah Sektor Audit Tadbir Urus Jabatan Audit Negara Datuk Nor Salwani Muhammad, 54, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, tadi, bahawa pingat yang diterimanya pada 1 Februari 2020 adalah kerana beliau berkhidmat selama 30 tahun di Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pada perbicaraan kes bekas perdana menteri itu dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, yang berdepan pertuduhan meminda laporan audit 1MDB di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Nor Salwani pada 2019 menarik perhatian negara apabila mengaku di Mahkamah Tinggi bahawa beliau membuat rakaman audio berdurasi dua jam 45 minit pada mesyuarat 24 Februari 2016 dengan menyorokkan alat rakaman di dalam sebuah kotak pensil.

Terdahulu, saksi pendakwaan kelima itu diminta membaca laporan akhbar tempatan bertarikh 1 Februari 2020 bertajuk 'Tahniah Nor Salwani.'

Laporan itu antara lain menyebut pada 2016, Nor Salwani secara rahsia menyimpan satu daripada 60 salinan laporan asal 1MDB selepas diarahkan berbuat demikian kerana hanya salinan yang sudah dipinda akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Laporan itu turut memetik kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad (ketika itu) yang berkata penganugerahan itu juga sebagai manifestasi kementeriannya yang tegas menolak sebarang unsur rasuah dan salah guna kuasa oleh mana-mana pihak.

Ketika disoal balas Muhammad Shafee, saksi itu sekali lagi menegaskan gelaran Datuk yang diterima bukanlah kerana menyimpan bukti laporan 1MDB dipinda tetapi kerana pencalonannya telah dihantar oleh Jabatan Audit Negara dan KWP sebelum beliau memberi keterangan di mahkamah.

Pada peringkat ini, Mohamed Zaini mencelah dan menasihati Muhammad Shafee tidak menyoal terlalu mendalam berhubung isu itu.

Menjawab soalan mengenai pandangannya berhubung kenyataan menteri itu dalam laporan akhbar itu, Nor Salwani berkata beliau menghormati pandangan Khalid.

"Bagaimanapun, apa yang berlaku ialah pencalonan dibuat ketika saya adalah ketua unit oleh pengurusan tertinggi KWP. Saya juga terbabit dalam penubuhan KWP," katanya.

Nor Salwani berkata beliau tidak sekali-kali berniat untuk 'menyorok' atau melakukan sesuatu yang di luar etika atau luar kebiasaan apabila meletakkan perakam ketika mesyuarat itu berlangsung.

Muhammad Shafee: Adakah Datuk meminta kebenaran atau memberitahu Ketua Setiausaha Negara (ketika itu) Tan Sri Dr Ali Hamsa dan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang bahawa kamu hendak merakam percakapan? Ada membuat permohonan?

Nor Salwani: Saya berusaha bercakap dengan Puan Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, wakil Jabatan Audit Negara, tetapi beliau sibuk bercakap dengan Tan Sri Ambrin. Dalam keadaan tergesa-gesa, saya pun meletakkan alat perakam itu di dalam kotak pensil. Saya tidak sekali-kali berniat untuk 'menyorok' atau melakukan sesuatu yang di luar etika atau luar kebiasaan.

Terdahulu, Muhammad Shafee memohon perbicaraan esok ditangguhkan kerana beliau perlu membuat persediaan untuk kes Najib membabitkan SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Rayuan.

Permohonan Muhammad Shafee tidak dibantah oleh pendakwaan yang diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Mohamed Zaini membenarkan permohonan itu dan menetapkan 11 Ogos untuk menyambung pendengaran dalam kes 1MDB.

Najib, 67, yang juga ahli Parlimen Pekan, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan ke atas laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentang kepada PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau manakala Arul Kanda didakwa bersubahat dengan bekas perdana menteri itu dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Najib daripada dikenakan tindakan. - Bernama.

Disiarkan pada: February 23, 2021 @ 8:37pm
d