mutakhir

Mohd Daud dilantik Pengerusi MAIWP

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Pakar Kewangan Islam, Datuk Dr Mohd Daud Bakar dilantik sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang baharu berkuatkuasa 10 Februari lalu.

Dalam satu kenyataan MAIWP memaklumkan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan itu bersama 21 orang ahli MAIWP yang baharu berkuatkuasa pada tarikh berkenaan.

Katanya, Dr Mohd Daud, 57, yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa adalah tokoh dan intelektual kewangan syariah selain Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia.

Beliau turut aktif dalam menjadi penasihat syariah institusi kewangan di peringkat antarabangsa seperti di Oman, Dubai, Perancis, dan London.

Kenyataan itu menyebut, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Abdul Aziz Jusoh, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MAIWP yang baharu.

Katanya, selari dengan peruntukan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) [Akta 505], lima orang ahli Ex-Officio turut dilantik iaitu Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri mewakili Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin yang mewakili Ketua Polis Negara; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah; dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Ahli MAIWP dari sesi lalu turut dilantik semula iaitu Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, Datuk Anwari Suri, Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz dan Profesor Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali.

"Individu lain yang dilantik adalah Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, Datuk Rameli Musa, Datuk Dr Mohd Ghazali Md Noor, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Datuk Abdul Rahman Putra Taha," kata kenyataan itu semalam.

Selain itu, beberapa orang pakar juga diperkenan sebagai ahli MAIWP iaitu Dr Yusri Mohamad, Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, Zainal Abidin Shaikh Zakaria dan Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor manakala Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail dilantik sebagai Setiausaha MAIWP.

Sementara itu, Dr Mohd Daud berkata, dalam mesyuarat pertama yang dipengerusikannya, beberapa perkara dibincangkan untuk memacu MAIWP lebih maju selepas ini.

Katanya, MAIWP tidak boleh mengharapkan hasil dan output berbeza dengan melakukan perkara serta cara kerja yang sama untuk selama-lamanya.

"Perlu juga keberanian dan kebijaksanaan zaman. Alhamdulillah, saya teruja kerana barisan ahli-ahli Majlis adalah berkredibiiti tinggi.

"Semoga pihak ahli majlis dan juga pengurusan MAIWP diberikan petunjuk dan kekuatan oleh Allah SWT supaya sentiasa berintegriti, berilham tinggi dan berdaya kuat untuk melaksanakan segala amanah yang dipertanggungjawabkan," katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2021 @ 10:47am
d